Asap daripada rokok daun dihembus perlahan. Suasana hingar bingar di kedai mamak itu langsung tidak mengganggu konsentrasi mindanya.

Sel-sel otak lelaki dipanggil Wak Mustar itu ligat berhubung memikir pujukan isteri tercintanya semalam.
“Abang, pergilah uji bakat Kilauan Emas tu,” pujuk isterinya.

Wak Mustar masih berfikir-fikir untuk pergi. Sebelum ini, bukannya dia tak pernah cuba masuk pertandingan tersebut. Tapi baru bersiap-siap nak pergi ada sahaja halangannya.
Masa Kilauan Emas pertama iaitu tahun 2011, usia Wak jadi halangan untuk masuk pertandingan. Hanya ‘otai’ yang berumur 40 tahun ke atas layak menyertai pertandingan itu. Jadi Wak tak boleh masuk.
Tahun seterusnya, pun sama juga. Lagipun, bila Wak tengok orang yang dalam televisyen menyanyi, Wak Mustar jadi seram. Boleh ke Wak nyanyi macam itu? Ish… nak berdepan dengan juri lagi. Jurinya bukan calang-calang, Erra Fazira dan Hattan. Dua-dua tu memang legend.
Wak sedar, dia bukannya berasal daripada darah seni atau menyanyi di kelab-kelab besar. Wak hanya nyanyi di rumah-rumah orang kahwin, atau dalam bilik air saja. Tak pun masa tengah bertukang.

Dia buat semua tu sekadar suka-suka. Tolong kawan-kawan. Kalau bernasib baik, adalah yang akan bagi upah. Tapi tidak la semahal bayarannya macam penyanyi yang keluar Akademi Fantasia tu.
Kalau nak berlatih bernyanyi pun di pusat-pusat karaoke sekitar bandar Klang. Itu pun sebagai riadah Wak dengan keluarga. Wak akan bawak anak-anak sekali. Okey la, sambil menyelam minum air. Anak seronok dapat jalan-jalan, Wak pun enjoy dapat lepas gian menyanyi.
Kemudian, Wak cadang nak masuk Kilauan Emas musim keempat pula. Tapi tahun 2013 itu, musim orang mengundi. Kalau calon politik yang bertanding sibuk turun padang bagi ceramah, Wak lagi sibuk pacak bendera. Tergendala lagi rancangan Wak.
Tahun 2015, usia Wak dah layak. Tapi Wak pula tak yakin nak masuk.  Wak pun tak pasti kenapa. Kalau sebelum ni semangatnya berkobar-kobar tiba-tiba saja jadi kendur.

Tapi kalau difikir suara, suaranya bukannya tak sedap. Kawan-kawan pun ramai yang kata suara Wak persis penyanyi era 60-an dan 70-an. Macam A. Ramlee tu. Lunak merdu.

FIKIR punya fikir, Wak buat keputusan. Tengah hari itu, Wak hidupkan kereta, terus pergi ke uji bakat yang berlangsung di pusat beli-belah, Summit USJ Subang Jaya.

Masa sampai Wak tengok dah ramai yang berbaris menunggu giliran uji bakat. Disebabkan Wak dah lambat, terpaksalah Wak tunggu sampai petang.

Masa tu, Wak rasa macam buang masa. Sudah la parking kena saman, tunggu pun lama sangat. Aduh dugaan betul. Wak rasa nak balik saja. Buang masa!
Tapi masa duduk tunggu giliran, Wak terdengar seorang peserta sedang menyanyi sebuah lagu.
“Kalau macam ni la, aku pun boleh dapat,” kata Wak dalam hati. Suara peserta yang menyanyi di depannya tadi sengau dan sumbang. Memang ke laut nyanyian dia.

Tiba-tiba Wak jadi semangat semula. Tak sabar-sabar pula rasanya.
Nama Wak pun dipanggil. Wak naik pentas dan nyanyi lagu S. M. Salim. Lama juga, sampai bahagian korus Wak nyanyi, baru juri hentikan nyanyian.         Tak lama lepas tu juri tanya Wak.
“Awak boleh bawa lagu ballad?” tanya Ayai selaku juri.
Ballad? Apa tu?” jawab Wak dalam hati. Terpinga -pinga Wak atas pentas seorang diri. Apalah yang mereka nak ni?
“Maksudnya, boleh awak nyanyi lagu balada?” soal Ayai lagi bila tengok Wak terpinga-pinga macam orang tak faham.
“La cakap je la lagu balada. Apalah yang nak beria sangat sebut ballad. Ingatkan tarian balet tadi,” monolog Wak dalam hati.
Wak pun nyanyi lagu J. Mizan. Tajuknya, Tiada Lagi Jalan Kembali.

Tiada lagi… jalan kembali
Semuanya seakan mimpi..
Walau beratku bawa pergi
Bayanganmu di dalam hatiku
Saatnya kala pun tiba kini….

Juri minta lagi Wak nyanyi lagu.
“Boleh nyanyi lagu A. Ramlee?” tanya Ayai masa itu.

“Lagu apa?” soal Wak yang sedikit gementar.
“Lagu apa-apa je,” jawab Ayai.

Wak pun nyanyilah lagu dendangan A. Ramlee, bertajuk Terpikat. Lagu ni lagu kegemaran Wak setiap kali karaoke.

Ingin kukatakan, ingin kujelaskan.
Rahsia terkandung di hatiku
Tapi silu menyatakan
Aku terpikat padamu…

Juri terus angkat kad hijau. Serta-merta senyum Wak lebar. Seronok hati Wak. Memang itu yang menjadi idaman Wak. Tak sangka Wak layak.

Tapi bila difikirkan semula, ada lagi yang menggusarkan hati Wak. Wak terfikir, kalau masuk pertandingan, syaratnya mesti tinggalkan keluarga selama tiga bulan. Aduh! Macam mana ni? Siapa nak jaga keluarga Wak?
Esoknya hari Ahad, pihak penganjur suruh Wak datang lagi untuk adakan sesi uji bakat kedua. Wak berentap lagi bersama 20 orang peserta lain untuk mencari senarai 10 peserta terakhir untuk berentap menjadi juara.

Wak ingat dapat keputusan hari yang sama, tapi tak. Pihak penganjur suruh Wak balik. Selepas tiga hari baru mereka akan telefon beritahu keputusan.
Tunggu sampai seminggu satu panggilan pun tak datang. Wak rasa mesti tak layak dah.
Fuh! Rasa lega pun ada sebab tak perlu fikir nak tinggalkan anak-anak dan isteri. Lagipun, hanya Wak yang bekerja dan isterilah yang jaga lima orang anak-anak. Kesian pula isteri nak jaga empat hero dan seorang puteri. Kalau Wak tak bekerja, mana nak korek duit? Duit simpanan pun bukannya banyak.
Tapi, kalau dah rezeki tak ke mana. Sedang sibuk bertukang, Wak dapat satu panggilan telefon daripada pihak penganjur.

Penganjur kata, Wak dapat wild card. Wak mengiakan sahaja. Apa benda wild card tu pun Wak tak tahu.
Tapi kawan kata wild card tu macam peserta simpananlah. Wak kena tunggu. Bila-bila masa boleh terpilih.
Akhirnya Wak dapat masuk Kilauan Emas 2015. Masa kat situ, macam-macam yang Wak belajar. Wak dapat tunjuk ajar dari cikgu-cikgu hebat macam Cikgu Zaharuddin, Cikgu Siti Hajar dan Cikgu Syafi.
Dulu Wak tidak ada peluang pergi kelas vokal. Kalau nyanyi tu main ikut suka saja. Rupanya ada kaedah yang terbaik untuk menyanyi.
Sejak Wak masuk pertandingan ini, ramai yang sokong. Mereka suka dengan suara Wak. Sedap, lunak, berlemak, kata mereka.

Peminat Wak pun bertambah-tambah, bukan sahaja penduduk Sijangkang, malah satu Malaysia minat Wak. Orang kata macam fenomena Mawi.
Tapi Wak sebenarnya bukannya nak jadi popular macam Mawi tu. Sampai jadi fenomena. Tujuan Wak cuma nak masuk televisyen aje. Kih Kih Kih. Nak orang kenal.
Sebab kalau dah orang kenal bila buat show dapatlah duit lebih sikit. Bolehlah menampung perbelanjaan Wak sekeluarga. Wak dah tak larat nak kerja bertukang ni. Penat. Usia pun dah masuk 47 tahun. Tua dah.
Masa dalam pertandingan tu, kalau peminat jumpa atau call, Wak tak pernah ‘kempen’ minta undi. Malah Wak suruh peminat jangan undi Wak. Kalau boleh cepat-cepatlah Wak terkeluar daripada program itu.
Bukanya apa, masa tu Wak jadi takut. Wak tak tahu macam mana nak hidup dalam dunia glamor ni. Pergi mana pun orang kenal.

Tapi setiap kali Wak cakap macam tu, mesti peminat marah. Peminat minta Wak teruskan perjuangan sampai habis! Mungkin kerana doa peminat semua, Wak akhirnya berjaya dinobatkan sebagai juara.
Sekarang Wak dah bergelar artis. Walaupun begitu, Wak masih macam dulu. Biasa-biasa sahaja. Kalau dulu pakai baju bundle pergi show, sekarang pun pakai baju bundle juga.

Kalau dulu pakai kasut bundle sekarang pun masih sama. Kalau dulu rokok daun, sekarang pun sama. Tak adalah pula Wak bertukar ke rokok Dunhill, atau hisap Vape.
Setakat ni Wak hanya ada dua helai baju baru untuk show. Itu pun kawan Wak yang belikan. Wak suka pakai baju macam itu. Tapi orang masih suka dan minta Wak kekalkan identiti semasa menyanyi dulu.

Wak pun tak tahu orang minat Wak sebab apa. Pada pakaiankah? Atau suara Wak kah?
Tapi ada satu Wak ingat. Seorang artis veteran ni serkap jarang pada Wak. Dia kata Wak pakai pelaris untuk tarik perhatian orang ramai. Terkejut Wak. Eiiiiii, tak adalah Wak nak pakai benda-benda mengarut tu. Bagi Wak rezeki tu di tangan Tuhan.

Nota: Wak Mustar atau Mustaffa bin Rasyid, 47 tahun merupakan johan pertandingan Kilauan Emas 2015.