Suatu ketika di Basrah, seorang pemuda sedang mundar-mandir di hadapan sebuah tapak pembinaan. Anak muda itu mengenakan jubah yang diperbuat daripada kain kasar, sementara serban yang melilit kepalanya kelihatan agak lusuh.

“Wahai anak muda, adakah engkau mencari kerja?” sapa seorang lelaki, Syeikh Abdullah ibnu Farad yang merupakan seorang bangsawan di situ.

“Ya, saya sedang mencari kerja untuk menampung keperluan hidup,” sahut pemuda berkenaan, lantas memperkenalkan dirinya sebagai Ahmad.

“Jika begitu, kerja sahaja dengan ku. Aku sangat memerlukan pekerja untuk menyiapkan pembinaan rumah dan parit,” pelawa bangsawan tadi kepada lelaki di hadapannya.

“Wahai orang kaya, aku bersetuju tetapi ada dua syarat sebelum aku memulakan kerja,” ujar Ahmad.

Syiekh Abdullah tersenyum dan bersedia mendengar syarat pemuda tadi.

“Pertama, aku hanya mahu upah untuk keperluan makan dan minum ku sahaja. Kedua, tuan mengizinkan aku bersembahyang setiap kali masuk solat,” kata Ahmad kepada bangsawan berkenaan.

Sebaik mendengar syarat-syarat yang diperjelaskan, Syeikh Abdullah menganggukkan kepala tanda bersetuju. Bermula daripada detik itu, pemuda berkenaan mula melakukan rutinnya sebagai buruh. Tugasnya menggali parit dan mengecat rumah.

Sejak hari pertama, Syeikh Abdullah sentiasa memerhatikan tingkah laku pekerja barunya itu. Beliau mendapati, Ahmad seorang pekerja yang rajin.

Anak muda itu sangat tekun bekerja dan tidak sekali-kali mencuri tulang. Ahmad hanya berhenti seketika untuk solat sebelum menyambung semula kerjanya.

Sehinggalah beberapa hari kemudian, Syeikh Abdullah kembali semula ke tapak pembinaan tersebut. Lelaki bangsawan itu memang terkejut. Kerja-kerja di situ sudah siap sepenuhnya. Ia siap lebih awal daripada tempoh yang dijangka.

Disebabkan itu, Syeikh Abdullah merasakan tidak sepatutnya upah dibayar terlalu sedikit seperti yang dipinta oleh Ahmad. Maka, beliau menghulurkan dua Dirham kepada anak muda itu.

“Tuan, mengapa upah aku ditambah menjadi dua Dirham?” tanya Ahmad mempersoalkan gajinya.

“Engkau seorang yang rajin, hasil kerja mu adalah sama seperti kerja yang dilakukan oleh beberapa orang lelaki. Maka, adalah zalim sekiranya aku membayar upah, hanya untuk keperluan makan dan minum sahaja,” ujar Syeikh Abdullah.

“Tidak tuan, kita sudah berjanji dengan upah satu setengah Dirham, tidak boleh lebih. Sila ambil semula bakinya,” kata pemuda berkenaan dengan nada yang tegas.

Syeikh Abdullah terdiam. Dia hairan dengan tingkah laku anak muda tersebut. Selama dia hidup, baru sekarang dia berjumpa dengan seorang pekerja yang tidak mahu dibayar lebih, walaupun telah melakukan kerja yang bertimbun.

Syeikh Abdullah merasakan rezekinya semakin bertambah dengan adanya pekerja seperti anak muda ini yang tekun dan tidak tahu penat lelah. Setiap tugas yang diamanahkan dapat diselesaikan dalam jangka waktu singkat. Sejak Ahmad bekerja dengannya, urusan perniagaannya berjalan cukup lancar.

Sehinggalah pada suatu ketika, Ahmad tidak datang bekerja. Syeikh Abdullah mula tertanya-tanya kerana selama ini, anak muda itu tidak pernah mengambil cuti. Masuk hari kedua, Ahmad masih belum muncul. Maka, lelaki bangsawan itu mengambil keputusan untuk mencarinya.

Setelah puas merisik daripada penduduk sekitar, akhirnya beliau mendapat perkhabaran bahawa Ahmad sedang terlantar sakit di pondok buruknya.

Syeikh Abdullah agak terkejut kerana mendapati pemuda itu hanya tinggal berseorangan di dalam sebuah pondok usang yang tidak berpintu, dan hanya berbaring beralaskan pecahan batu-bata. Keadaannya juga agak tenat.

Setelah memberi salam, Syeikh Abdullah mengangkat kepala anak muda itu dan diletakkan ke ribanya. Apabila mengetahui yang datang itu adalah Syeikh Abdullah iaitu majikannya, Ahmad kuatkan diri.

“Tuan sungguh baik hati. Tuan mengambil berat akan diri ku. Ketahuilah bahawa, tuan akan ditanya di akhirat nanti, apa tanggungjawab tuan kepada saya.

“Tuan, janganlah tertipu oleh nikmat dunia kerana nikmat itu akan habis. Ingatlah bahawa umur tuan juga akan berakhir. Jika tuan mengusung jenazah saudara tuan ke kubur, nescaya suatu hari nanti tuan juga akan diusung ke sana,” kata anak muda itu dengan suara yang terketar-ketar.

“Tuan, mahukah tuan berjanji jika roh aku berpisah daripada tubuh, hendaklah tuan sendiri yang memandikan dan kafan jenazah ku dengan jubah yang aku pakai ini?” sambung anak muda itu. Syeikh Abdullah hanya mengangguk.

“Ketahuilah, orang yang masih hidup lebih memerlukan pakaian yang baru berbanding orang yang sudah mati. Pakaian akan hancur dimamah tanah sedangkan amal akan kekal selama-lamanya.”

Dalam keadaan yang semakin tenat, pemuda itu masih meneruskan kata-katanya. “Tuan ambillah bungkusan dan serban ini untuk diberikan kepada tukang gali kubur. Manakala, Mushaf dan cincin ini tolong sampaikan kepada pemerintah, Khalifah Harun Ar-Rashid.”

Ketika ini, air mata Syeikh Abdullah tidak dapat dibendung lagi. Dia sangat terharu mendengar wasiat anak muda yang sudah hampir ajalnya. Namun, wajahnya masih lagi terukir senyuman.

Anak muda itu kemudian melanjutkan wasiatnya, “Aku mohon disampaikan barang ini dengan tangan mu sendiri. Katakan kepada Amirul Mukminin, ‘jangan sampai engkau mati di dalam kealpaan dan keseronokan dunia’.”

Sebaik sahaja menyampaikan wasiatnya, anak muda itu menghembuskan nafas terakhir di pangkuan Syeikh Abdullah. Dia pergi meninggalkan alam fana ini bertemu Maha Pencipta.

Lalu, tanpa berlengah, Syeikh Abdullah menyempurnakan jenazah Ahmad sebagaimana yang diwasiatkan. Setelah urusan pengebumiannya selesai, dia bersiap pula untuk menunaikan wasiat yang kedua iaitu menyerahkan barang anak muda ini kepada Khalifah Harun Ar-Rashid.

Di istana khalifah yang terletak di tengah-tengah kota Baghdad, Syeikh Abdullah telah menjelaskan tentang kehadirannya di hadapan khalifah.

“Wahai Amirul Mukminin! Saya Abdullah ibnu Furad dari Basrah. Saya menerima wasiat daripada seorang anak muda yang tidak dikenali untuk menyerahkan barang ini kepada tuan. Pesannya, ‘jangan sampai tuan mati di dalam kealpaan dan keseronokan dunia’,” kata Syeikh Abdullah memperkenalkan dirinya.

Sebaik sahaja Amirul Mukminin melihat Mushaf dan cincin takhta kerajaan itu, dengan serta-merta tubuhnya menggeletar. Riak wajahnya berubah dan mata sang khalifah mula bergenang.

“Adakah tuan kenal dengan anak muda ini?” soal Syeikh Abdullah.

“Ya, dia adalah Ahmad ibnu Harun Ar-Rashid, anakanda beta merangkap pewaris takhta kerajaan ini. Dia meninggalkan istana yang mewah ini dan memilih untuk hidup secara zuhud. Dia pergi tanpa membawa apa-apa bekalan kecuali sebuah Mushaf al-Quran dan sebentuk cincin takhta kerajaan pemberian ibunya. Semoga Ahmad diredai Allah,” jawab Khalifah dengan air mata yang menitis.