Pertengahan 1980-an

KELEPUK!! Kepala Halim diluku. Dia mendongak. Seorang lelaki berbadan gempal dan berkulit hitam sedang berdiri di belakangnya.

“Kau pergi beratur kat belakang! Tunggu sampai semua ahli keluarga aku ambil dulu. Lepas tu baru sampai giliran kau!” gertak lelaki berkenaan.

Halim terkulat-kulat berundur ke belakang. Dia tak mampu nak berkata apa-apa. Dari pagi sampai ke tengah hari Halim menunggu nak menadah air, tapi dia terpaksa mengalah bila lelaki-lelaki dewasa lain datang dan menghalaunya.

Sakit kepalanya berpijar! Hendak saja dibalas lepuk yang singgah di belakang kepalanya tadi. Tapi Halim hanya membisu. Bukan takut, tapi dia tahu kudratnya yang baru berusia 13 tahun itu tak seberapa kalau nak dibandingkan dengan lelaki yang melukunya sebentar tadi.

“Woi anak yatim. Kau orang miskin ya?” tanya lelaki tadi tersengih menampakkan giginya yang kuning. Halim hanya diam membatu. Malas hendak melayan sindiran-sindiran sebegitu.

“Eh! Jawablah! Kau ni tak ada mulut ke, budak? Kesian mak bapak kau dapat anak bisu macam engkau,” kata lelaki tadi sambil disambut gelak tawa orang-orang sekeliling. Berdekah-dekah mereka ketawa.

Bila dihina bertubi-tubi, hati Halim jadi panas. Darah remajanya serta-merta mendidih. Dia tak tahan lagi dihina sebegitu rupa. Ah, biarpun badannya kecil, dia tak sanggup biarkan diri dan keluarganya menjadi bahan hinaan jiran-jiran di sekitar Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur. Sudah lama sangat dia bersabar.

Lalu, Halim letakkan baldi kosong yang dijinjing. Dia sengseng lengan baju. Kali ini Halim tak peduli lagi. Apa nak jadi pun, jadilah! Dia tak mahu maruah keluarganya terus dipijak-pijak.

Halim sudah siap sedia untuk menghadiahkan buah pukulan. Siku, pelempang dan kekuda sudah siap dipasang. Dan…

Kelepakk! Kelepukkk! Bedebukkk!

Belum sempat dia membuka langkah, beberapa das tumbukan dan sepakan sudah menjengah tubuhnya dulu. Bukan seorang, tetapi tiga, empat orang lelaki dewasa yang membelasahnya. Halim cuba melawan, namun kudratnya belum cukup kuat. Kemudian, satu lagi penumbuk hinggap ke mukanya. Kali ini lebih padu.

Matanya berpinar. Giginya rasa macam nak bertabur bila kena pelempang. Semasa penumbuk hinggap di perut, Halim mengerang. Sakitnya terasa seperti nak terjojol isi perut. Kelengkang pula rasa senak bukan kepalang bila ada kaki menerjah kemaluannya.

“Puihh! Umur baru setahun jagung, ada hati nak tunjuk lagak. Berambus lah kau budak!” kata lelaki tadi kepada Halim. Kemudian, dia cekak tubuh Halim yang kurus itu dan dilempar ke tepi.

Bila ibu Halim dapat tahu yang dia bergaduh, segera dia bergegas ke sana. Tak cukup tanah ibunya berlari sambil mengendong adik bongsu Halim yang berusia tiga tahun. Sebaik ibunya tiba, Halim sudah lembik dibelasah. Mulutnya berdarah.

“Siah, jaga anak kau ni elok-elok sikit. Jangan nak jadi budak kurang ajar sangat!” bentak salah seorang lelaki di situ kepada ibu Halim. Wanita itu tak terkata apa-apa selain hanya mampu mengalirkan air mata. Dia bangun dan memapah Halim pulang ke rumah.

“Halim, tolonglah ingat, kau tu kecil lagi. Mana mampu nak bergaduh dengan orang dewasa. Mak tak nak kau kena belasah lagi,” kata ibunya sambil menyeka air di mata. Dahi anaknya yang lebam itu dikucup lembut. Halim hanya mengangguk.

Namun, Halim langsung tak serik dibelasah. Bertitik tolak daripada peristiwa itu, dia menyimpan perasaan. Dia perlu buat sesuatu untuk menjaga ibu dan tiga orang lagi adik-adiknya supaya hidup mereka lebih sempurna. Halim tak sanggup lagi jika mereka dicemuh oleh penduduk sekitar.

Sebagai anak sulung yang kematian ayah, tugas untuk menjaga keluarga terletak di atas bahunya. Jadi, Halim berhenti sekolah. Dia nekad untuk bekerja bagi membantu ibunya menambah pendapatan. Dia nak tunjuk pada orang-orang di sekitar Kampung Kerinchi bahawa dia sekeluarga juga mampu meredah gelombang hidup di bandar besar seperti Kuala Lumpur walaupun ketiadaan ayah.

Merata ceruk Halim redah. Namun, dalam usianya yang sebegitu, tiada siapa yang sanggup mengambilnya bekerja. Bila dah terdesak sangat hendak mencari duit, Halim kerja jaga parking haram. Dalam sehari, dia boleh dapat antara RM10 ke RM20. Cukuplah sekadar untuk beli barang dapur mereka lima beranak.

Bila tak sekolah, Halim bercampur dengan budak-budak liar. Ketika inilah dia kenal dengan ganja. Halim tak hisap. Sumpah Halim tak hisap! Tapi Halim jadi budak suruhan untuk jual dan mengedar benda haram itu. Bila jual, Halim dapat upah.

Dengan duit itulah dia menyara keluarga. Halim tak fikir lagi soal lain. Yang penting, dia dapat duit. Dengan hasil itulah dia menyara ibu dan adik-adiknya yang semakin membesar. Dia mahu makan pakai mereka cukup seadanya. Soal lain, dia tolak tepi.

Bila dah ada duit sikit, Halim mula besar kepala. Darah remajanya kerap mendidih. Pantang tercuit bahu, ada saja yang tak puas hati. Kalau ada budak-budak sebaya yang mencabar, tanpa segan silu Halim membeli tawaran budak yang mahu beradu kekuatan dengannya. Kalau dulu dia lembik, hah… sekarang dia pula yang akan lipat dan terajang budak-budak lain sampai tak boleh bangun!

Selain jual ganja dan dadah, sisa-sisa remajanya banyak dihabiskan di jalanan, bergaduh dan bertumbuk. Siapa yang tak kenal dengan Halim? Pantang ada yang menjeling atau berlaga siku, Halim tibai! Kerjanya asyik nak mendebik. Kalau tak mendebik, tak sah!

Tahun 1994

DENGUNGAN nyamuk berterbangan membuatkan tidur Halim terganggu. Sekejap-sekejap digigitnya kaki. Seketika kemudian terasa gatal di pipi. Sudahlah suhu pagi itu dinginnya sehingga mencengkam tulang.

Ketika itu juga, perut Halim berkeroncong. Bermacam-macam bunyi keluar. Masakan tidak, Halim hanya menjamah sebuku roti yang kerasnya seperti batu malam tadi.

Tak sedap langsung! Sudahlah keras, terdapat pula beberapa urat rambut di dalamnya yang sudah sebati dengan tepung roti. Lebih teruk, Halim terjumpa ulat putih meliuk-lentok di dalam inti roti tersebut.

Uwekk!!

Ikutkan hati, tak mungkin makanan sebegitu sanggup Halim jamah. Namun, dia terpaksa gagahkan juga diri untuk telan bagi mengalas perut yang terlalu kosong.

Arhh, persetankan nyamuk! Pedulikan sejuk! Tak kisahlah betapa laparnya perut. Halim mahu segera keluar dari tempat ini. Dia cubit lengan berkali-kali. Sesiapa sahaja, tolonglah beritahu bahawa ini semua hanya mimpi.

Halim pandang sekeliling. Dia kini berada di dalam sebuah bilik yang dipagari jeriji besi. Luasnya cuma sekangkang kera. Rupanya tak ubah seperti penjara. Halim cubit pula pipi. Sakit! Ini bukan mimpi! Ini realiti! Halim memang berada di dalam penjara dan merupakan seorang banduan.

Ya! Ini kali kedua dia rasai suasana itu. Sungguh, ia terlalu perit.

Kali pertama, sewaktu dia berusia 16 tahun. Halim disabitkan kesalahan mengikut seksyen 302 kanun keseksaan kerana didapati membunuh. Ya… memang Halim yang bunuh. Tapi dia tak sengaja. Dia bergaduh dan tolak tauke Cina itu sampai jatuh. Tapi dia tak sangka sehingga jatuh ke lantai bangunan. Disebabkan masih di bawah umur, Halim dihadapkan sebagai pesalah juvana.

Tapi kali ini, kesalahannya juga berat. Dia disabitkan kesalahan mengikut seksyen 39(B) kerana mengedar ganja seberat 37 kilogram. Jika didapati bersalah, Halim akan digantung sampai mati!

Tahun 2015

HALIM duduk sambil termenung di beranda rumahnya di PPR Kerinchi, Pantai Dalam, Kuala Lumpur. Wajah ibunya, Siah masih lagi bermain di depan matanya. Kasih dan sayang Halim terhadap ibu kandungnya itu tiada galang ganti.

Walaupun diberikan harta yang bertimbun-timbun, tetapi semua itu seakan tiada makna lagi pada dirinya. Setelah ibunya meninggal dunia pada tahun 2009, hidup Halim benar-benar berubah. Ya… dia berubah seperti yang ibunya harapkan. Halim mahu ibunya tenang di sana. Dan Halim pasti, doa seorang ibu sangat makbul.

Halim berbaring di tilam bujang. Di situlah tempat dia berehat, melepaskan penat dan lelah sendirian. Dalam usia yang sudah menjangkau 44 tahun, Halim sendiri tidak dapat mengagak apa episod hidupnya pada masa-masa mendatang. Entah boleh kerja lagi atau tidak, dia sendiri pun tak tahu. Tapi…

Sambil berbaring, Halim mengelamun. Wajah ibunya bermain semula di fikiran. Kata-kata ibunya yang dilafazkan beberapa tahun lalu, masih berdesing di telinga.

“Kalau kau anak yang mak kandung selama sembilan bulan sembilan hari, kau berubahlah. Mak tak nak dengar lagi kau bergelumang dengan dunia gengster. Mak nak kau buang semua benda tu!” Kata-kata inilah yang menusuk hingga ke lubuk hati Halim. Dia benar-benar terkesan.

Begitu juga ketika ibunya sedang nazak pada tahun 2009, sekali lagi hatinya terpukul dengan kata-kata ibunya.

“Halim… mak sayang kau. Cukuplah dua kali kau terlepas dari tali gantung. Tuhan masih beri masa untuk kau berubah. Mak tahu, kau anak yang baik,” lafaz ibunya sebelum meninggal dunia. Ia seperti sengat, cukup bisa menyuntik jantungnya.

Ya, selepas keluar daripada penjara tempoh hari, Halim masih bergiat dengan kegiatan samsengnya. Dia terlibat dengan kongsi gelap. Halim ingat lagi, untuk menyertai kongsi gelap, dia sanggup mencacah tatu naga di belakang bahu dan meneguk tujuh titik darah berserta arak sebagai perjanjian menjadi ahli.

Ingat lagi geng GT* yang pernah ditumpaskan oleh pihak polis sekitar awal tahun 2000? Halim adalah salah seorang daripada mereka. Ketika itu kegiatan curi kereta adalah rutin harian lelaki ini.

Tapi kini semua itu sudah ditinggalkan. Dia mahu cuci tangan. Halim yakin, doa ibunyalah yang membuatkan dia mahu berubah. Halim bertekad untuk mengubah perjalanan hidupnya yang sia-sia itu lantaran usianya juga sudah mencecah 40-an.

Halim sedar, jika dia terus menuruti jalan songsang itu pada usianya 40-an, peluangnya untuk bertaubat semakin kelam. Sejahat-jahat manusia sekalipun masih terdetik di hati kecilnya untuk bertaubat dan kembali ke pangkal jalan. Begitulah yang Halim rasa kini.

Sekarang, Halim sudah tidak mampu lagi untuk bekerja. Doktor yang merawatnya mengesahkan Halim mengalami ketumbuhan di bahagian otak. Penyakit batu karang yang dialaminya juga semakin kronik sehingga menyebabkan buah pinggangnya sudah tidak berfungsi dengan baik.

Hari-hari yang dilaluinya kini terasa kelam. Dia tidak pasti, apa hala tuju hidupnya beberapa tahun dari sekarang. Berapa lama lagi dia mampu hidup? Entah… dia sendiri tidak tahu jawapan kepada persoalan itu.