Saya kongsi kan suatu kisah yang terjadi puluhan tahun dahulu, semasa keluarga kami tinggal di Melaka.

Ketika itu arwah abah bertugas sebagai pegawai buruh. Hampir empat tahun lamanya kami menjadi pemastautin di Melaka. Bermula dengan menyewa sebuah rumah banglo di Peringgit dan seterusnya kami menginap di kuarters kerajaan di Garden City.

Bertentangan dengan kuarters kami adalah sebuah rumah pangsa polis. Seperti berek atau kediaman unit beruniform, ia turut dilengkapi dengan taman permainan kanak-kanak, khas untuk anak-anak polis bermain pada waktu petang.

Semasa kami mula pindah ke situ, saya teruja kerana di rumah lama kami dahulu tiada langsung padang permainan yang ada gelongsor, jongkang-jongket, buaian dan beberapa lagi peralatan lain. Dan paling seronok apabila bilik tidur kami benar-benar menghadap padang permainan itu. Di dalam kepala, celik sahaja mata, saya akan terus menerpa membuka tingkap dan terus melihat padang permainan itu.

Salah seorang rakan sekelas saya, Zainal, seorang anak polis turut tinggal di situ. Boleh kami bermain bersama-sama selepas balik mengaji nanti. Tetapi, apa yang terfikir di kepala, jarang sekali menjadi kenyataan. Pada malam pertama, sapaan perkenalan diberikan oleh ‘pengunjung’ padang permainan itu.

Saya tidak ingat bilakah masa yang tepat saya terjaga. Mungkin tengah malam. Kedengaran suara kanak-kanak sedang bermain di padang permainan begitu kuat sehingga menarik minat saya untuk melihat.

Saya membuka tingkap kayu bilik tidur kami. Sinaran kuning cahaya lampu jalan menerangi pemandangan. Kelihatan ada pergerakan di padang permainan. Saya menggosok mata. Mungkin saya salah pandang, tetapi saya amat yakin dengan apa yang saya lihat. Buaian yang kosong tiba-tiba berayun seolah-olah ada orang yang sedang berbuai, atau ada yang menolaknya.

Semakin lama semakin tinggi. Sesekali terdengar suara budak kecil gelak. Dada saya mula berdebar. Saya rapatkan tingkap sekadar cukup bukaan untuk memandang ke luar dan memerhatikan apa yang sedang berlaku.

Sesekali terlihat seakan-akan beberapa orang budak kecil, berpakaian cerah sedang berlari-lari di keliling jongkang-jongket, seolah-olah bermain kejar-kejar. Jongkang-jongket sedikit pun tidak disentuh mereka.

Pandangan saya tertumpu ke arah buaian yang semakin lama semakin melaju dan tinggi. Namun tiada orang yang mendudukinya. Hendak kata ditiup angin, amat mustahil kerana bayu yang berpuput dari arah laut tidak begitu kuat untuk menolak buaian itu.

Secara tiba-tiba, kanak-kanak yang sedang berlari-larian tadi berhenti. Seolah-olah mendengar sesuatu. Saya lihat mereka kemudiannya berkumpul dan berbaris, bagaikan anggota tentera yang hendak diperiksa oleh pegawai waran. Perlahan-lahan kumpulan ini bergerak ke sebelah kanan dan terus menghilang di sebalik dinding sebuah unit rumah pangsa yang diubah suai menjadi sekolah tadika.

Segera saya menutup tingkap, berlari ke arah katil dan terus berselimut. Cuma Allah sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu dan betapa berdebarnya jantung saya. Terasa bagaikan hendak tercabut. Dalam keadaan menggigil, saya terlena sehingga bahu digoncang oleh emak – mengejutkan untuk ke sekolah. Ahhhh .. pukul 5.00 pagi rupanya.

Pagi itu semasa menunggu van ke sekolah, terlihat kelibat seorang budak lelaki lingkungan enam tahun sedang berdiri di sebelah tiang buaian. Matanya tidak lepas memandang ke hadapan, ke arah sebatang pokok yang merimbun di seberang jalan. Di pokok inilah tempat kami diturunkan dari van.

TINNN … bingit bunyi hon van sekolah. Lamunan saya terhenti. Longlai dan masih mengantuk, saya menaiki van yang separuh penuh. Sengaja saya mengambil tempat duduk di sebelah tingkap untuk melihat siapakah budak kecil itu. Saya merenung kembali ke arah buaian. Hilang! Budak kecil itu tiada di situ. Dalam hati memujuk, mungkin dia sudah memasuki kelas tadika.

Di dalam van, saya bertanyakan Zainal, tentang perihal padang permainan itu. Benar kah ada budak-budak bermain di waktu malam dan siapakah budak kecil yang hadir terlalu awal ke tadika yang saya lihat tadi.

Zainal hanya menggelengkan kepala sahaja.  Dia tidak mengerti.

“Mana ada budak kecil pagi-pagi buta ni. Sekolah tadika tu pun buka pukul 8.30 pagi,” katanya.

Beria-ia saya mempertahankan apa yang saya lihat sebentar tadi. Setiba di sekolah saya terus ke kantin dan meletakkan kepala di meja makan. Terlalu mengantuk mata saya. Apakah itu puncanya saya terlihat bayangan budak kecil itu tadi?

Di dalam kelas, saya tidak dapat menumpukan pelajaran sepenuhnya. Sehinggakan guru kelas merasa suhu di dahi dan leher saya. Dia bertanya apakah saya demam kerana badan saya sedikit panas. Saya cuma menggelengkan kepala. Mungkin risau dengan keadaan saya, guru tadi terus membawa saya ke bilik rehat dan diberinya ubat berperisa oren. Saya disuruh berehat sementara menunggu waktu sekolah tamat.

Memang nyaman dalam bilik rawatan itu sehinggakan saya terlena. Mungkin kerana tidak cukup tidur malam sebelumnya atau pun memang tidak berapa sihat atau mungkin kerana ubat, saya tidak sedar sehinggalah hampir waktu hendak balik sekolah.

Semasa di dalam van, mata saya hampir tidak dapat dibuka kerana terlalu mengantuk. Sehinggakan kakak terpaksa memimpin saya naik dan turun van. Tetapi setibanya di hentian terakhir kami, mata tiba-tiba terbuka luas, bagaikan baharu sahaja selesai menghabiskan kopi pekat satu cawan besar.

Tanda disangka, budak lelaki tadi masih lagi berdiri di sebelah tiang buaian sambil memandang ke arah kami. Saya dan kakak melintasi jalan dan berjalan ke arah rumah kami. Sesekali saya mengerling ke arah tiang buaian dan melihat budak itu tetap berdiri tegak memandang ke satu arah.

Saya melihat Zainal yang berjalan di hadapan budak itu. Bagaikan tiada siapa di hadapannya, Zainal melintasi dan terus ke arah belakang kelas tadika. Budak itu tidak wujud di matanya. Saya terus memerhatikannya sehinggalah ditegur oleh kakak.

Malam-malam seterusnya, masih terdengar suara kanak-kanak dan peralatan permainan berbunyi. Saya hanya menutup kepala saya dengan bantal agar mudah lena.

Betul-betul seminggu kami berada di rumah baru, selepas makan malam saya keluar ke anjung dan duduk di tembok yang memisahkan anjung dengan bahagian jalan depan rumah. Masih terlalu awal. Rasanya baharu sahaja pukul 8.30 malam.

PANGGGG … Tiba-tiba kedengaran jongkang-jongket dihentak ke bawah. Kepala terus berpaling ke arah jongkang-jongket. Ada beberapa orang budak kecil sedang bergumpal sesama sendiri merebutkan peralatan itu. Memang bising dengan suara pekikan dan laungan.

“Hairan, suara kanak-kanak yang nyaring itu tidak kedengaran di telinga para penghuni rumah flat polis ini?” hati saya berbisik. Saya terus memerhatikan gelagat kanak-kanak tadi.

Entah dari mana, tiba-tiba muncul suatu sosok budak kecil, berbaju kemeja lengan pendek dan seluar pendek (ketika itu, tadika masih tiada seragam) berdiri betul-betul menghadap saya. Dalam cahaya lampu kuning jalan, kelihatan wajahnya yang agak pucat. Itu sahaja yang saya ingat bila melihat wajahnya. Tidaklah seputih hantu Ju-On yang disapu kapur kasut itu!

Riak mukanya amat sedih. Tangannya dihulurkan ke arah saya. Terkejut dengan tindakannya yang tiba-tiba, saya berlari masuk ke dalam rumah dan mengunci pintu. Terkejut abah yang sedang menonton berita. Saya terus meluru ke atas tingkat dua rumah dengan ditemani oleh adik.

Dari tingkap bilik tidur kami, saya melihat budak ini terus berdiri di tempat yang serupa sambil memandang tepat ke arah rumah kami. Alhamdulillah, kepalanya tidak didongakkan. Saya hanya memerhati. Hampir 30 minit juga dia berdiri dan kemudiannya terus ke buaian.

Saya melihat semasa ia duduk, kakinya tidak menjejak tanah tetapi ayunan buaiannya semakin lama semakin kuat dan tinggi. Kedengaran juga gelaknya, walaupun tidak menyeramkan seperti puntianak tetapi cukup untuk menaikkan bulu roma. Sekali lagi saya tidur berselimut dari kaki hingga kepala.

Enam bulan lamanya kami tinggal di situ sebelum abah ditukarkan ke Kuala Lumpur. Semasa kami berpindah, ramai rakan-rakan sebaya yang tinggal di kuarters dan rumah pangsa itu memberi lambaian selamat jalan kepada kami, termasuklah ‘budak buaian’ itu.

Setelah hampir 30 tahun tidak menjenguk kawasan tersebut, saya berpeluang untuk menyinggahi tempat ini baru-baru ini sempena projek MySilat 2015 anjuran Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi.

Berlainan sungguh tempatnya. Tiada lagi rumah kuarters yang kami diami dahulu. Malahan pantai yang hanya tiga minit jaraknya dari rumah kami, telah ditambak dan berdiri beberapa kedai dan pusat membeli belah.

Masa telah berlalu namun dalam hati saya tertanya-tanya, siapakah yang ditunggu oleh budak lelaki itu? Dan mengapakah ia asyik memandang ke arah pokok rendang itu, tanpa mengira masa, sama ada panas atau hujan.

Jawapannya, hanya Allah saja yang tahu.