MASTIKA teruja. Hendak sangat berjumpa dengan lelaki itu. Kami hampir tak percaya apabila dimaklumkan, ada seorang lelaki mampu menyembuhkan sakit gigi menggunakan paku sahaja. Paku?? Ya, paku!

Pesakit tak perlu cabut gigi. Jauh sekali makan ubat. Jumpa saja lelaki ini. Nanti dia akan paku gigi yang sakit. Dalam masa beberapa minit, sakit gigi pun hilang.

Betulkah begitu? Tak sakitkah?

Lalu, Mastika cuba menjejaki rumah lelaki yang dikhabarkan tinggal di Kampung Pangkal Meleret, Machang, Kelantan. Awal kedatangan kami, lelaki itu tiada di rumah.

“Sakit gigi ke? Nak paku gigi?” tanya seorang wanita yang muncul di depan pintu.

Mastika hanya tersenyum. Soalan yang dilontarkan itu sedikit sebanyak telah menjawab perkara yang bersarang di dalam benak kami. Sah, tuan rumah ini memang ada kebolehan merawat sakit gigi.

Petangnya, sekali lagi kami berkunjung ke situ. Sudah rezeki, orang yang kami cari ada di rumah. Kebetulan juga, semasa kedatangan kali kedua ini, lelaki tersebut sedang merawat seorang kanak-kanak.

“Nak paku gigi?” tanya lelaki yang mesra disapa Abang Mat. Nama penuhnya Muhammad bin Abdul Rahman. Mastika hanya mengangguk.

“Okey. Tunggu haaaaa…!”

Abang Mat tersenyum. Dia meneruskan rawatan pada kanak-kanak berusia lingkungan sepuluh tahun itu.

Sedang dia mengubat kanak-kanak tadi, kami melihat cara rawatannya. Benar seperti diberitahu, Abang Mat guna paku.

Mula-mula, Abang Mat mengambil sebatang paku. Paku tadi abang Mat masukkan ke dalam mulut dan menyentuh bahagian gigi yang sakit. Macam pesakit kanak-kanak ini, dia sakit gigi rahang atas sebelah kiri.

Abang Mat keluarkan paku tadi dan digosok ke pipi kiri, iaitu bahagian yang sakit. Sambil itu, mulut Abang Mat terkumat-kamit membaca sesuatu.  Entah apa dibacanya, kami tidak tahu. Mungkin dia membaca doa.

Kemudian, Abang Mat mengambil tukul dan sebatang kayu bersaiz dua kali tiga inci. Panjangnya pula lebih kurang dua kaki.

Atas kayu itu sudah tercacak paku-paku lama. Berpuluh-puluh. Mungkin paku lama itu adalah rawatan untuk pesakit-pesakit terdahulu. Kalau dikira jumlah, bermakna sudah ramai yang menerima rawatan Abang Mat.

Di atas kayu itu juga, tertulis huruf jawi, SIN, MIN dan WAU.

Tangg! Tangg! Tangg!

Paku pertama tadi Abang Mat pakukan pada huruf SIN. Selepas memaku pada huruf SIN, Abang Mat menggosok tangan kiri kanak-kanak tersebut, bermula dari siku hingga ke hujung jari.

“Sakit lagi?” tanya abang Mat.

Kanak-kanak tadi mengangguk. Abang Mat teruskan rawatan. Sebatang paku lagi diambilnya. Abang Mat buat perkara sama. Tapi paku kedua ini Abang Mat pakukan pada huruf MIN pula.

“Sakit lagi?” sekali lagi Abang Mat lontarkan soalan sama.

“Dah kurang sikit,” jawab kanak-kanak itu.

“Ha… bagus. Lepas ni kuranglah sakit tu,” beritahu Abang Mat.

Lelaki bermisai lebat itu meneruskan rawatan dengan paku ketiga. Cara sama dibuat sebelum paku ketiga dipasak pada huruf WAU. Selepas mengurut tangan kanak-kanak tadi, rawatan selesai.

“SAKIT gigi belah mana? Atas ke bawah?” tanya Abang Mat pada kami. Mastika hanya tersengih sambil menggaru-garu kepala. Sebetulnya, kami ke sini didorong perasaan ingin tahu. Mastika hendak tengok sendiri kebolehan Abang Mat seperti yang diuar-uarkan.

“Wartawanlah ni? Wartawan apa?” tanya Abang Mat.

Mastika.

“Ooooooo. Nak tanya apa?” soal abang Mat.

Err… betulkah menggunakan paku saja, sakit gigi boleh sembuh?

“Saya ni bukan bomoh. Saya ni tolong orang saja dengan ilmu Allah bagi. Insya-Allah dengan izin Allah, boleh baik. Dah ramai yang datang berubat. Semua sembuh. Tak perlu cabut gigi,” jawab abang Mat.

Kami tanya lagi, kenapa Abang Mat gunakan paku? Kenapa bukan objek lain?

Abang Mat tersenyum. Abang Mat beritahu paku itu keras dan senang bila nak dipaku pada kayu. Lagipun, ia sebenarnya hanyalah simbolik. Memaku pada kayu merupakan simbolik untuk mematikan ulat-ulat yang memakan gigi.

“Ada doa-doanya yang perlu baca. Paku tu simbolik untuk paku ulat gigi. Biar ulat tu mati. Lepas tu, gigi pun tak sakit,” lanjut abang Mat.

Selepas memaku, dia akan menggosok-gosok tangan pesakit sambil doa. Sekiranya sakit gigi di rahang bawah sebelah kanan, Abang Mat akan menggosok tangan kanan pesakit bermula dari siku hingga ke hujung jari.

Jika sakit gigi di rahang atas sebelah kanan, dia akan menggosok dari bahu hingga ke hujung jari. Begitu jugalah sebaliknya.

“Itulah cara rawatan Abang Mat. Kenapa buat macam tu jangan tanya,” kata Abang Mat tersengih.

Abang Mat beritahu, hanya tiga batang paku setiap kali rawatan. Tak boleh lebih. Macam tadi, paku pertama dipaku pada huruf SIN, kedua huruf MIN seterusnya paku ketiga pada huruf WAU. Walaupun kebiasaannya pada paku kedua sakit gigi sudah hilang, dia akan teruskan rawatan sehingga paku ketiga.

“Tu cara rawatannya. Dalam amalan abang, Sin, Min, Wau ni, bermakna sembuh. Sebab tu guna tiga batang paku,” jawab abang Mat.

Kami mengangguk, lantas meminta Abang Mat ceritakan pula pengalamannya berubat orang.

Kata lelaki berkulit sawo matang ini, di awalnya sukar juga orang hendak percaya. Ramai yang anggap ini semua merepek. Mana mungkin dengan paku pada kayu saja, sakit gigi hilang!

Hinggalah suatu hari, ada seorang rakannya yang sakit gigi. Sudah dua tiga hari rakannya mengadu tak boleh tidur. Bila malam, sakitnya bertambah teruk. Berdenyut-denyut sampai ke kepala.

Bila jumpa doktor, tak boleh nak cabut juga sebab gusi bengkak. Doktor minta tunggu hingga bengkak surut. Akibatnya, rakan Abang Mat tak boleh tidur. Nak makan dan buat kerja pun susah. Rakannya itu asyik mengaduh.

Bila dah teruk sangat, Abang Mat rasa kasihan. Abang mat minta izin untuk merawat.

“Abang buat rawatan macam tadi. Setengah jam lepas berubat, dia dah tak sakit. Sejak tulah heboh kat tempat kerja.

“Lepas tu, kalau ada kawan-kawan yang sakit gigi mesti jumpa abang. Minta paku gigi,” ujar abang Mat.

Ada satu lagi kisah, pun lebih kurang sama. Jumpa doktor tapi tak boleh cabut sebab gusi bengkak. Perempuan ni bekerja di kedai makan tempat selalu Abang Mat makan tengah hari.

Hari tu, Abang Mat tengok dia duduk termenung. Bila ditanya, rupanya sakit gigi. Pipi pun dah bengkak. Nak bercakap pun susah. Abang Mat tawarkan untuk rawat. Perempuan ni bersetuju.

“Esok, bila abang ke kedai, dia dah tersengih. Mulut pun pot pet pot pet. Dah tak sakit gigi,” cerita Abang Mat.

Mastika yang mendengar hanya mengangguk. Tapi kami tertanya-tanya lagi, bagaimana Abang Mat ada kebolehan ini?

“Abang belajar daripada arwah Tok Wan. Dia ada ilmu ni. Dia turunkan kat abang sebelum meninggal. Masa tu umur abang dah 40 tahun. Lepas tu, abang belajar pula dengan seorang guru di Tumpat. Lepas belajar dengan dua orang guru ni, baru abang berani tolong ubatkan orang,” cerita Abang Mat pada Mastika.

Okey Abang Mat. Terima kasih banyak-banyak.

Lepas ni jika orang Kelantan terutamanya sekitar Machang sakit gigi, takut nak jumpa doktor, bolehlah cari Abang Mat di Kampung Pangkal Meleret, Machang, Kelantan. Kalau tak jumpa rumah, anda boleh hubungi Abang Mat melalui talian 014-8335721.

Abang Mat paku saja. Sakit pun cepat hilang!