Tahun 2010. Perjalanan rombongan umrah kali ini saya rasakan cukup sempurna. Saya perhatikan kesemua ahli rombongan berada dalam keadaan yang cukup bersedia dari segi fizikal dan mental. Tahap kesihatan mereka juga baik-baik belaka walaupun kebanyakan jemaah sudah melepasi separuh umur.

Sejak di Madinah lagi, para jemaah patuh pada setiap arahan dan peraturan yang diberikan semasa sesi taklimat. Selaku mutawif, sudah menjadi tanggungjawab saya untuk memberi bimbingan apa yang termampu kepada jemaah-jemaah.

Sebaik tiba di Mekah, sekali lagi saya memberi penerangan tentang ibadah Umrah yang bakal kami laksanakan. Selain mengingatkan jemaah tentang rukun, larangan dan adab-adab semasa di Tanah Suci, saya turut mengingatkan mereka tentang aspek-aspek keselamatan.

Perkara ini sangat penting kerana manusia ini macam-macam ragamnya. Lagi pula, Tanah Suci ini tumpuan jutaan umat manusia. Kita kena sentiasa berhati-hati agar selamat dan terhindar daripada kesusahan.

Tidak lupa juga, saya ingatkan para jemaah supaya menjaga diri masing-masing. Jangan keluar berseorangan, terutamanya jemaah perempuan. Kalau nak pergi ke mana-mana, biarlah berteman. Jika terjadi apa-apa, ada kawan yang boleh membantu.

“Jangan salah faham. Saya tak halang kalau tuan-tuan dan puan-puan nak pergi mana pun. Cuma kalau boleh, lebih baik berteman supaya tidak menimbulkan masalah kemudiannya,” terang saya kepada para jemaah supaya mereka tidak salah sangka.

Selepas sesi taklimat itu, kami bergerak ke Masjidilharam. Sementara menunggu azan Zuhur berkumandang, saya tunjukkan kedudukan Hijir Ismail, pancuran emas, Hajarulaswad, makam Nabi Ibrahim dan telaga zamzam.

Usai solat, saya bawa jemaah melakukan tawaf umrah. Untuk kali pertama ini, kami melakukannya secara berkumpulan sehingga selesai ketujuh-tujuh pusingan. Kemudian, kami bergerak ke Bukit Safa untuk melakukan Sai, seterusnya bertahalul.

Selesai semuanya, sekali lagi saya memberi sesi taklimat ringkas kepada jemaah. Sekali lagi saya tekankan supaya menjaga diri. Jangan keluar berseorangan, lebih-lebih lagi mereka yang pertama kali datang ke sini.

Selesai taklimat, saya kemudian membawa jemaah ke hotel penginapan. Kami menginap di hotel yang terletak kira-kira 500 meter dari Masjidilharam. Jarak tersebut tidaklah terlalu jauh dan tidak terlalu dekat. Sedang-sedang sahaja. Dari apa yang saya perhatikan, para jemaah masih lagi menunjukkan wajah yang ceria sekalipun sedikit penat.

Ketika dalam perjalanan itu, salah seorang daripada jemaah kami, Hajah Rahmah namanya, datang berjumpa dengan saya. Hajah Rahmah berusia lewat 50-an dan merupakan bekas pensyarah di sebuah universiti terkemuka tanah air.

“Ustaz… I’ve been sixth time here. Don’t worry okay…” kata Hajah Rahmah pada saya. Loghat Inggerisnya cair.

Saya pandang ke arahnya. Saya sendiri tak pasti apa maksud Hajah Rahmah berkata demikian. Anggapan saya, mungkin Hajah Rahmah hendak memberitahu bahawa dia sudah biasa dengan keadaan di kota Mekah ini. Jadi, saya tak perlulah terlalu risaukan sangat tentangnya.

Sebenarnya, kata-kata Hajah Rahmah itu membuatkan hati saya terdetik sesuatu, tetapi saya tak mahu fikir yang bukan-bukan.

“Kalau begitu, nanti puan bolehlah bantu saya tengokkan jemaah lain. Boleh bantu apa yang patut terutamanya perempuan,” kata saya padanya sambil melemparkan senyuman. Hajah Rahmah menganggukkan kepala tanda faham apa yang saya maksudkan.

Jika begitu, andaian saya sudah pastilah Hajah Ramlah agak mahir tentang selok-belok ibadat umrah. Jadi, bolehlah dia membantu apa yang perlu. Bukan saya hendak mengelak tanggungjawab sebagai mutawif, tapi jika dia boleh membantu memudahkan jemaah lain, itu lebih baik. Itu saja.

Sebenarnya, saya pun tidak berapa kenal rapat dengan Hajah Rahmah. Walaupun sudah enam kali datang ke Mekah, ini kali pertama dia mengikuti rombongan dengan agensi kami. Kali ini, Hajah Rahmah datang dengan kakak dan abang iparnya.

Di lobi hotel, saya bahagikan bilik-bilik penginapan yang sudah ditempah kepada ahli rombongan. Alhamdulillah, urusan untuk hari pertama di Mekah berjalan dengan cukup lancar.

Pada hari kedua juga begitu. Semuanya berjalan dengan baik. Walaupun banyak persoalan berkaitan ibadat umrah dilontarkan jemaah, saya tak kisah. Saya gembira melihat situasi tersebut kerana ia adalah suatu proses pembelajaran.

Selaku mutawif, sudah menjadi tanggungjawab untuk memberi bimbingan apa yang termampu kepada jemaah-jemaah yang mengikuti rombongan ini.

Cuma, ketika sesi penerangan tentang tersebut, saya lihat Hajah Rahmah kurang memberi perhatian. Matanya lebih banyak meliar ke arah sekeliling. Entah apa yang dilihat, saya sendiri pun tak tahu.

Bahkan, sepanjang dua hari kami di sana, dia langsung tak buka mulut untuk bertanya sebarang soalan. Tak mengapa, mungkin Hajah Rahmah sudah mahir mengenai ibadah umrah dan selok-belok kota Mekah, getus hati kecil saya.

Namun, masuk hari ketiga, selepas menunaikan solat Isyak di Masjidilharam, saya dikejutkan dengan berita kehilangan salah seorang jemaah wanita dalam rombongan kami. Hajah Rahmah hilang!

Kata kakaknya, Kak Ramlah, puas sudah dia mencari adiknya itu. Seluruh kawasan masjid sudah dijenguk. Bagai nak gila dia mencari, namun kelibat Hajah Rahmah langsung tak kelihatan.

“Tak tahu pergi mana. Sejak subuh tadi dia keluar. Kata hendak solat di masjid. Tapi, sampai sekarang tak balik-balik lagi.

“Tengok, sekarang dah dekat pukul 12.00 malam. Macam mana ni, ustaz…” getus Ramlah sambil mengerling ke arah jam tangan. Sesekali dia mengesat peluh.

“Tak mungkin. Bukankah dia…” kata-kata saya putus di situ.

Dengan serta-merta timbul rasa gelisah di hati saya. Masakan tidak, kalau jadi apa-apa pada Hajah Rahmah, tentulah susah kami dibuatnya. Atas dasar tanggungjawab sebagai ketua operasi di Mekah, saya kumpulkan beberapa orang jemaah lelaki untuk mencari Hajah Rahmah.

“Kita kena cari Hajah Rahmah, kalau tak jumpa, naya,” kata saya.

Kami yang ada lapan orang kesemuanya berpecah kepada empat kumpulan. Dua kumpulan cari di luar, manakala dua kumpulan lagi saya arahkan untuk mencari dalam masjid. Kami berjanji akan berjumpa semula di hadapan pintu utama nanti.

Sudah jauh kami tinggalkan Masjidilharam dan menyusuri pelbagai lorong serta kawasan perumahan, namun bayang Hajah Rahmah langsung tak kelihatan. Habis basah baju saya dek peluh. Bagi menghilangkan lelah, kami rehat seketika.

Saya lihat sekeliling. Suram. Ekor mata saya tak lepas daripada meninjau kawasan sekitar sambil menyuluh setiap sudut jalan-jalan kecil dengan lampu suluh tersebut. Namun, usaha kami hampa.

Sehinggalah waktu solat Subuh sudah hampir masuk, saya akhirnya memberi arahan supaya ia dihentikan seketika. Esok siang, kami akan mencari semula.

Usai solat Subuh, saya bercadang pulang semula ke hotel untuk berehat seketika. Walaupun begitu, ingatan saya masih tak lekang memikirkan tentang Hajah Rahmah. Sepanjang perjalanan balik, ekor mata saya masih meliar ke kiri dan kanan untuk melihat Hajah Rahmah.

Lebih kurang 50 meter hendak sampai ke hotel, pandangan saya tiba-tiba terhenti pada kelibat seorang perempuan yang berdiri tercegat di seberang jalan hotel tempat kami menginap. Sambil berjalan, saya amati betul-betul. Sah! Itu memang Hajah Rahmah.

“Bukan ke itu Hajah Rahmah?” tanya saya sambil mencuit lengan salah seorang ahli jemaah yang berjalan bersama saya ketika itu, Azlan. Dia yang ketika itu agak mengantuk segera membuntangkan matanya.

“Eh! Betullah!” balas Azlan.

Kami terus menghampiri Hajah Rahmah sambil Azlan membuntuti dari belakang.

“Puan, puan buat apa berdiri tercegat kat sini? Kenapa tak balik bilik?” tanya saya kehairanan.

Hajah Rahmah kemudian memandang ke arah kami. Tapi dia terus membisu sambil terus meninjau keadaan sekeliling. Saya lihat gelagatnya pelik benar. Saya dan Azlan garu kepala. Lebih kurang lima minit begitu, kemudian baru dia buka mulut dan bersuara.

“Ustaz, betul ke tu hotel kita?” tanya Hajah Rahmah pada saya sambil mengacungkan tangannya ke hadapan. Keningnya berkerut.

Saya anggukkan kepala. Saya cakap, memang itulah tempat jemaah kita menginap. Tapi, bila kami ajaknya balik ke hotel, dia tak mahu.

“Bukanlah ustaz, tu bukan hotel kita,” jawab Hajah Rahmah.

Bila dia kata begitu, saya mula rasa ada sesuatu yang tak kena. Puas saya pujuk dan terangkan, tapi Hajah Rahmah tetap tak mahu balik ke hotel. Katanya, hotel tersebut bukan tempat kami menginap. Walaupun saya beritahu nombor biliknya, dia tetap tak percaya.

Saya dan Azlan mula geleng kepala. Buntu. Kenapa Hajah Rahmah jadi begitu, kami sendiri pun tak tahu.

Akhirnya, saya terpaksa menghubungi kakaknya, Kak Ramlah untuk menjemput Hajah Rahmah. Sebaik sahaja nampak kelibat kakaknya turun ke lobi hotel, Hajah Rahmah segera meluru dan memeluk beliau. Bila kakaknya terangkan, barulah Hajah Rahmah percaya.

Keesokan hari, saya bertemu semula dengan Kak Ramlah untuk bertanya khabar Hajah Rahmah. Alhamdulillah, semuanya baik sahaja.

Namun, saya difahamkan bahawa Hajah Rahmah sebenarnya tidak ke mana-mana pun ketika hari dia dilaporkan hilang itu. Dia hanya tercegat di luar hotel tempat kami menginap. Lima, enam kali dia masuk ke lobi hotel, namun dia terasa asing.

Tapi pelik, kalau Hajah Rahmah hanya tercegat di situ, takkanlah jemaah-jemaah lain yang mengikuti rombongan kami tak nampak kelibatnya? Mustahil! Dalam sehari entah berpuluh kali saya melalui kawasan itu, tapi tak pula saya nampak bayang Hajah Rahmah di situ.

Entah, saya sendiri tidak dapat menjawab persoalan tersebut. Cuma saya rasa, ia mungkin ada kena mengena dengan kata-katanya sebelum ini – “Ustaz… I’ve been sixth time here…”