DERINGAN telefon awal pagi itu mengejutkan saya daripada lena. Dalam keadaan mamai, saya capai telefon bimbit. Di skrin, tertera nama Datuk Tajul, seorang rakan saya.

“Wan, Haji Bakri dah meninggal malam tadi!” beritahu Datuk Tajul di talian. Mata saya yang tadinya masih kuyu, kini terbuntang luas. Berita itu betul-betul mengejutkan saya.

“Meninggal sebab apa Datuk? Sekarang jenazah kat mana?’ saya bertanya lanjut.

“Dengar cerita sakit jantung. Sekarang ni dah bawa balik rumah,” jawab Datuk Tajul sebelum meletakkan telefon.

Saya bingkas bangun. Sambil menunggu masuk waktu Subuh, fikiran saya mula teringat Haji Bakri. Memang saya tak sangka, dia pergi mengejut begitu. Sebelum ini, tak pernah pula saya dengar dia ada penyakit jantung.

Walaupun baru kenal empat tahun, hubungan saya dengan Haji Bakri agak rapat. Pernah beberapa kali saya menemani arwah ke beberapa negeri atas urusan kerjanya. Tempat kerja kami juga terletak berdekatan. Kerap juga kami lepak bersama bila habis waktu kerja.

Pukul 7.00 pagi, saya tiba di rumah arwah. Saya tergesa-gesa ke sana sebab kebetulan pada hari itu, saya juga perlu ke Kuantan kerana ada urusan penting. Kalau boleh saya mahu melihat arwah buat kali terakhir semasa arwah dimandikan atau dikapankan.

Belum ramai yang hadir semasa saya tiba di rumah arwah. Ada beberapa saudara-mara, jiran-jiran terdekat dan sahabat arwah. Merekalah yang membantu menguruskan jenazah kerana arwah merupakan seorang duda anak satu.

Pihak pengurusan jenazah minta bantuan mereka yang hadir untuk membantu mengangkat jenazah Haji Bakri ke bilik air. Saya menawarkan diri. Peluang itu saya gunakan untuk menatap wajah Haji Bakri buat kali terakhir.

Selesai dimandikan, saya angkat pula jenazah ke ruang tamu. Namun. Ketika jenazah sedang dikapankan, saya terpandang muka Haji Bakri. Serta-merta timbul persoalan.

“Eh, kenapa pula muka Haji gelap?” bisik hati saya hairan.

Bukan apa, selama saya mengenalinya, kulit Haji Bakri bukan begitu. Orangnya berkulit cerah. Malah, semasa saya membantu membawa jenazahnya ke bilik air tadi,  kulitnya juga masih cerah.

“Kenapa bila siap dikapankan, kulit Haji jadi gelap?” bertalu-talu soalan itu bermain dalam kepala saya. Namun, apa yang dilihat itu saya diamkan saja. Saya tidak bertanya pada sesiapa.

Ketika mahu pulang, saya terserempak dengan Mansur di halaman rumah. Segera saya bergegas mendapatkannya. Saya dapat tahu Mansur ada bersama Haji Bakri ketika rakan kami itu meninggal dunia.

“Mansur, Haji meninggal sebab apa? Kat mana meninggal?” tanya saya untuk mendapatkan kepastian.

“Ishh… tak ada apa-apalah. Mati elok-elok. Orang baik-baik ni,” balas Mansur sebelum tergesa-gesa meninggalkan saya.

Melihat sikap Mansur, saya bertambah pelik. Lagaknya macam ada sesuatu yang dirahsiakan. Apa yang tak kena?

Oleh sebab saya sudah lewat untuk bertugas, saya terus bergegas ke stesen bas. Saya perlu segera. Kalau tidak nanti tertinggal bas untuk ke Pahang.

DUA hari selepas kematian Haji Bakri, saya berkunjung ke pejabat Datuk Tajul. Dalam pertemuan itu, macam-macam perkara kami bualkan hinggalah tentang arwah Haji Bakri. Malah, Datuk Tajul sendiri turut terkejut dengan kematian Haji Bakri secara tiba-tiba.

Sedang rancak berbual, saya tembak satu soalan. Niat saya mahu mendapatkan kepastian apa yang saya saksikan tempoh hari.

“Datuk, saya nak tanya satu perkara. Saya takut saya silap tengok. Datuk perasan tak lepas kapan, muka Haji jadi gelap?” tanya saya.

“Ya,” jawab Datuk Tajul pendek sambil mengangguk.

Sah! Mata saya tidak silap. Bukan saya saja yang nampak perubahan kulit Haji Bakri itu. Kemudian saya tanya pula tentang kematian Haji Bakri.

“Arwah sakit apa? Meninggal kat mana sebenarnya?” tanya saya lagi.

Datuk Tajul terdiam. Beberapa saat kemudian, baru dia mendedahkan satu cerita. Beritahu Datuk Tajul, Haji Bakri meninggal dunia setelah diserang sakit jantung ketika sedang asyik berdangdut dengan pelayan kelab (GRO).

“Mansur tahu hal sebenar. Dia ada dengan Haji masa tu. Try tanya dia,” kata Datuk Tajul lagi.

Mendengar cerita itu, saya beristighfar panjang. Terkejut juga saya bila mendapat tahu tempat Haji Bakri meninggal. Patutlah Mansur cuba mengelak untuk menjawab bila saya bertanya padanya tempoh hari.

BEBERAPA hari kemudian, saya terserempak lagi dengan Mansur. Kali ini saya minta dia ceritakan hal sebenar. Mulanya, Mansur enggan. Lagaknya seperti takut-takut. Tapi selepas saya beritahu kejadian ini mungkin boleh dijadikan pedoman untuk saya yang masih hidup, baru Mansur mahu buka mulut.

“Aku pun rasa serba salah sebenarnya,” luah Mansur sebelum bercerita lanjut.

Beritahu Mansur, Haji Bakri menghubunginya pada malam kejadian dan mengajaknya keluar. Alasan Haji Bakri, dia bosan tinggal seorang diri di rumah. Tanpa banyak soal, Mansur jemput Haji Bakri sebelum mereka berdua makan ayam penyet.

“Lepas makan, Haji kata tak payah balik dulu. Haji ajak pergi dangdut. Aku pun bawaklah,” beritahu Mansur sebelum terdiam.

Saya mengangguk. Saya tahu Haji Bakri memang kaki dangdut. Pernah sebelum ini, semasa menemaninya ke sebuah negeri, pada malamnya Haji Bakri membawa saya ke kelab dangdut.

Saya tak kisah sangat kalau dia nak tengok orang menari. Tapi yang tak seronoknya Haji Bakri pasti akan langgan GRO. Sudahlah mahal, habiskan duit untuk perkara tidak elok. Bukan itu saja, Haji Bakri akan ikut menari di pentas macam orang muda. Padahal usianya sudah lanjut. Untuk orang yang pernah menjejak kaki ke Tanah Suci hingga bergelar Haji, memang saya rasa perlakuannya itu tidak sesuai sama sekali.

“Lepas tu apa jadi?” soal saya lagi.

“Sampai dangdut, Haji terus ambil GRO, bawa menari atas pentas. Baru lima minit berjoget, tiba-tiba Haji pegang dada. Lepas tu dia duduk atas sofa semula. Tak sampai seminit, Haji rebah atas lantai. Masa tu dah nyawa-nyawa ikan,” dedah Mansur pada saya.

Sambungnya lagi, selepas Haji rebah ke lantai, dia cuba mengangkat orang tua itu. Namun sesuatu yang pelik berlaku. Tubuh Haji Bakri dirasakan terlalu berat. Mansur yang bertubuh agak besar gagal mengangkat Haji Bakri yang jauh lebih kurus darinya.

Disebabkan itu, Mansur terpaksa meminta bantuan pengawal kelab untuk mengangkat Haji Bakri masuk ke dalam kereta.

“Masa angkat Haji tu, aku terhidu bau busuk. Rupa-rupanya Haji dan terberak. Masa dalam kereta pula, aku dengar Haji berkeruh. Sekali saja, tapi kuat. Macam bunyi lembu kena sembelih. Lepas tu, terus senyap. Sampai hospital, doktor kata Haji dah mati,” cerita Mansur pada saya. Riak wajahnya seperti bersalah.

“Engkau perasan tak muka Haji gelap?” tanya saya lagi.

“Ya! Hitam muka Haji lepas dikapankan,” jawab Mansur.

Selepas mendengar ceritanya, saya termenung. Sungguh saya tak sangka, Allah tarik nyawa Haji Bakri di tempat hiburan sebegitu. Lebih sedih, sedang berhibur dengan wanita bukan mahram pula.

Bila melihat keadaan muka Haji Bakri yang berubah gelap, saya rasa mungkin arwah mendapat bahagian yang tidak baik. Bukan hendak menjatuhkan hukum sendiri, tapi itulah yang saya rasakan.

Saya juga teringat lima tanda mati yang diceritakan ustaz. Tiga baik dan dua tak baik. Yang baik itu antaranya dahi berpeluh, hidung berpeluh, keluar air mata. Itu tanda rahmat bagi orang yang meninggal.

Bagi yang tak elok pula ialah dada berombak-ombak dan berdengkur atau berkeruh kuat semasa nyawanya ditarik malaikat seperti dialami Haji Bakri. Itu tanda azab semasa sakaratulmaut.

Saya ceritakan kisah ini bukan hendak burukkan arwah, tapi sekadar berkongsi supaya menjadi pengajaran kepada kita yang masih hidup.            Allah beri peluang untuk kita bernafas, gunakanlah sebaik mungkin. Bayangkan bagaimana jika Allah tarik nyawa ketika sedang berseronok di tempat maksiat seperti Haji Bakri? Nauzubillah.  Sudahlah aib, nasib kita pula tak tahu bagaimana.

Bagi saya, apabila umur sudah lanjut, hentikanlah segala sifat-sifat buruk. Tambahkanlah amal ibadat. Pada masa itu, bila-bila masa ajal akan datang menjemput.

Saya juga teringat akan sabda Nabi yang lebih kurang begini bunyinya, “Sesiapa yang berusia 40 tahun, amalan kebajikannya belum mengatasi amalan kejahatannya, maka bersedialah ia ke neraka Allah.” – (Riwayat Tabrani dan Ibnu Abbas)

Walaupun dikatakan hadis ini daif, namun ia masih boleh diterima kerana mendorong ke arah kebaikan.

Jadi saya berpesan kepada diri sendiri dan pembaca, jadikan usia 40 sebagai garis pemisah. Paksalah diri untuk kembali ke pangkal jalan. Tinggalkan segala kejahatan dan kejarlah kebaikan. Itu pun sementara tubuh kita masih lagi bernyawa.

NOTA: Kisah di atas diceritakan oleh Wan Suhaili bin Wan Shamsul. Kejadian berlaku di sebuah negeri di selatan tanah air.