DILAHIRKAN pada 21 September 1952 di Jerman, Anneliese Michel menjalani kehidupan normal sama seperti gadis seusianya. Anak kepada pasangan Josef dan Anna Michel ini dibesarkan dalam pegangan Katolik yang kuat.

Gadis ini dikenali sebagai seorang yang periang dan disukai ramai. Namun, itu semua sebelum Anneliese ditimpa penyakit misteri yang bermula pada tahun 1968.

Awalnya, doktor mengatakan gadis itu sekadar menghidap penyakit batuk kering. Lalu dia diberi rawatan di Hospital Mittelberg di Jerman. Setelah sembuh, Anneliese dibenarkan pulang semula ke rumah.

Seperti biasa, gadis tersebut memulakan persekolahan di sekolah menengah Aschefenburg. Awalnya, semua berjalan lancar sehinggalah tiba-tiba Anneliese menghadapi kesukaran untuk bertutur. Dia juga mulai sukar berjalan dan sering berpaut pada meja, kerusi atau apa-apa sahaja yang berada dalam capaian tangannya untuk membantunya berdiri.

Pada tahun 1973, Anneliese mula ditimpa kemurungan yang serius. Perubahannya mendadak dan disedari oleh orang-orang di sekelilingnya. Keadaan itu berlanjutan agak lama hingga dia mula mengadu terlihat bayangan menyeramkan yang kerap kali menghantui dirinya.

Anneliese sering menggambarkan bahawa dia melihat raut muka syaitan pada dinding rumahnya. Katanya, syaitan tersebut mempunyai tujuh tanduk dan mahkota.

Bukan itu saja, ahli keluarga juga pernah beberapa kali melihat Anneliese dalam keadaan tercampak, seperti dibaling ke tanah. Anehnya, tidak kelihatan sesiapa yang memperlakukan gadis itu sedemikian rupa.

Pernah suatu hari, sewaktu mereka sekeluarga sedang menikmati makan malam. Kedua-dua tangan Anneliese membengkak secara mendadak sebelum dia terlambung ke belakang daripada kerusi yang didudukinya. Gadis itu hanya mampu menjerit meminta pertolongan.

Josef dan Anna tahu ada sesuatu yang berlaku terhadap Anneliese. Apatah lagi keadaan gadis itu semakin memburuk setiap hari. Dia mula mengamuk dan melakukan bermacam perkara aneh, termasuklah menjilat air kencingnya sendiri.

Anneliese memakan lalat, labah-labah dan juga pernah menelan kepala burung yang sudah mati. Pada ketika yang lain, gadis itu akan merangkak masuk ke bawah meja dan menyalak seperti anjing selama dua hari. Menjerit dan mengoyakkan bajunya sudah menjadi aktiviti harian Anneliese.

Kerana tidak sanggup melihat anak gadisnya terseksa, pasangan suami isteri itu bertindak menghubungi paderi. Harapan mereka, si paderi dapat menggunakan cara alternatif untuk memulihkan keadaan gadis tersebut.

Ritual mengusir syaitan

SEBELUM bersetuju memberikan khidmat exorcism kepada Anneliese, Paderi Arnold pernah membawa gadis itu bertemu ramai doktor untuk mendapatkan rawatan, namun menemui jalan buntu. Kata doktor, Anneliese menghidap sejenis penyakit sawan dan hanya diberikan pil bagi membantu menenangkan dirinya.

 

Dua orang paderi yang pada mulanya tidak percaya Anneliese dirasuk terdiam apabila mereka menyaksikan sendiri bagaimana gadis itu dilambung dan dihempas ke atas lantai tanpa ada sesiapa yang mengangkat atau mencampaknya.

Melihatkan keadaan gadis itu, pada tahun 1975, ketua paderi di kawasan tersebut telah memberi kebenaran kepada Paderi Arnold Renz dan Paderi Ernst Alt untuk menjalankan ritual exorcism (pengusiran syaitan) terhadap Anneliese.

Rawatan berlangsung selama 10 bulan. Dalam tempoh itu, sebanyak 67 kali ritual tersebut dijalankan. Setiap minggu, beberapa kali gadis itu menjalani kaedah spiritual yang menyeksa tubuhnya. Kesemua ritual itu turut dirakamkan dalam bentuk audio.

Anneliese menghadapi kecederaan lutut serius sepanjang menjalani proses exorcism. Gadis itu perlu melutut lebih daripada 600 kali pada setiap ritual yang kadangkala memakan masa berjam-jam lamanya.

Hasil daripada ritual tersebut, kedua-dua paderi mendakwa dapat mengesan enam jenis syaitan yang telah merasuk Anneliese iaitu Judas, Lucifer, Hitler, Nero, Fallen Priest dan Cain.

Sekalipun telah berpuluh-puluh ritual dijalankan untuk menghalau syaitan yang dikatakan merasuk tubuh gadis itu, dikatakan semuanya gagal. Anneliese terus hidup terseksa dan akhirnya meninggal dunia pada 1 Julai 1976, setelah lapan tahun bertarung dengan ‘penunggu’ yang menguasai dirinya.

Hasil bedah siasat mendapati kematian Anneliese Michel disebabkan kekurangan air dan zat makanan. Dia juga menghidapi demam panas dan Pneumonia ketika itu. Berat Anneliese sewaktu kematiannya hanyalah lebih kurang 30 kilogram.

Dua tahun selepas kematian Anneliese, mahkamah memutuskan kedua-dua ibu bapa gadis itu berserta dua paderi yang ‘merawatnya’ didapati bersalah atas tuduhan menyebabkan kematian Anneliese. Kesemua mereka dipenjarakan selama enam bulan.

Selepas lebih 30 tahun kematian Anneliese, banyak pihak yang semakin meragui dia benar-benar dirasuk. Mereka mempersoalkan ubat-ubatan yang diberikan kepadanya. Ramai yang menyokong bahawa Anneliese mungkin sebenarnya menderita kerana penyakit schizophrenia atau sejenis gangguan mental. Jika diberikan rawatan yang betul, mungkin Anneliese masih boleh diselamatkan.

Namun, dari sudut lain pula, tiada siapa mampu menerangkan kejadian bagaimana gadis itu dilambung dan dihempas ke tanah. Begitu juga dengan rakaman audio yang memperdengarkan suara aneh Anneliese yang dikatakan berbicara dalam bahasa kuno lama yang sudah tidak digunakan lagi ketika itu.

Sehingga kini, persoalan apa sebenarnya yang membunuh Anneliese masih menjadi tanda tanya. Tiada jawapan tepat yang dapat diberikan.

Malah, kisah yang menimpa Anneliese turut diangkat ke layar perak menerusi filem The Exorcism of Emily Rose yang ditayangkan pada tahun 2005.