Ibnu Salul berang. Dia merenung tajam lelaki di hadapannya. Di tangan lelaki tersebut ada segenggam wang. Namun, Ibnu Salul tidak berpuas hati kerana jumlahnya tidak seperti yang diharapkan.

“Sesungguhnya wang sebanyak ini adalah hasil kerja separuh hari, bukan sehari penuh!” ujar Ibnu Salul. Dia benar-benar marah. Matanya terjegil.

Kerana tidak mahu dituduh menggelapkan wang, maka pekerja di hadapannya itu mencelah, “Tahukah tuan kenapa hasil sekarang ini merosot?”

“Ya, aku tahu! Semua ini gara-gara Muhammad! Ia menyebabkan orang-orang menjauhi hamba-hamba wanitaku kerana terpengaruh dengan ajaran yang diseru olehnya,” bentak Ibnu Salul. Kemarahannya meluap-luap.

Ketika amarahnya masih membuak, Ibnu Salul mendengar suara orang memanggil namanya. Dia menjengah ke luar. Beberapa orang lelaki sedang tercegat berdiri di muka pintu.

Mereka tidak lain tidak bukan adalah pembesar-pembesar Bani Tamim yang selalu menginap di tempat Ibnu Salul setiap kali datang berdagang.

Ibnu Salul segera keluar untuk menemui mereka. Gusarnya terhadap Muhammad sedikit redha kerana kehadiran lelaki-lelaki ini sudah pasti akan menambahkan pendapatannya hari itu.

“Manakah perempuan yang dulu pernah kamu hantar untuk kami, wahai Ibnu Salul?” tanya salah seorang pembesar Bani Tamim.

“Perempuan yang mana satu? Mereka itu ramai…” jawab Ibnu Salul. Nadanya lunak, menunjukkan amarahnya yang semakin reda.

“Perempuan kamu yang paling cantik!”

“Apakah dia itu Masikah?” tanya Ibnu Salul kembali.

“Ya, dia! Tidak salah lagi…” jawab salah seorang lelaki itu dengan riak wajah yang tersengih.

“Kalau begitu, aku akan hantar dia kepada kamu bersama wanita-wanita lain.”

“Segerakannya wahai Ibnu Salul. Nanti kami akan memberikan wang sebagai upah kepadanya,” jawab lelaki Bani Tamim itu.

Tanpa membuang masa, Ibnu Salul segera mengarahkan pekerja lelakinya memanggil Masikah bersama hamba-hamba wanitanya yang lain. Selain Masikah, dia sendiri akan memilih beberapa lagi wanita cantik untuk dihantar kepada rombongan pedagang itu untuk mendapat upah yang lumayan.

Namun, pekerja lelakinya telah menyatakan sesuatu yang sangat mengejutkan Ibnu Salul.

“Masikah tidak mahu lagi melakukan perkara itu, Tuan. Dia telah meluruskan fikirannya,” kata lelaki berkenaan.

Ibnu Salul kembali berang. Serta-merta darahnya mendidih. Dia bangkit dan menuju ke bilik Masikah. Pintu bilik yang separuh tertutup itu diterajang dengan kakinya.

Sebaik daun pintu terkuak, dia melihat hamba wanitanya itu sedang menunaikan solat. Ibnu Salul tercengang. Kali ini, perasaan marahnya sudah tidak dapat dikawal lagi.

“Celaka kamu Masikah! Muhammad rupanya telah mempengaruhi kamu!” bentak Ibnu Salul.

“Tidak,” jawab Masikah yang terkejut dengan kehadiran tuannya. “Baginda telah menunjukkan jalan terang kepadaku tentang kebenaran.” Suaranya sedikit bergetar.

Jawapan Masikah membuatkan Ibnu Salul tak tentu arah. Lagaknya bagai dirasuk. Masikah dihenyak semahu-mahunya. Tubuhnya disepak terajang. Pipinya dilempang sehingga berdarah. Kaki Masikah dilibas dengan belantan. Kemudian, Ibnu Salul keluar sambil mendengus geram.

Pekerja lelaki kemudian masuk ke bilik Masikah bersama seorang wanita lain. Mereka kasihan melihat Masikah yang dibelasah teruk dan menasihatinya supaya melayan pedagang-pedagang Bani Tamim itu jika tidak mahu dipukul oleh Ibnu Salul.

“Demi Allah! Aku tak akan menderhaka terhadap Allah lagi walaupun tubuh ku dipotong-potong!” tegas Masikah.

Sebenarnya, Masikah sudah lama menjadi hamba wanita Ibnu Salul. Dia dipaksa melayan nafsu lelaki, dan dari situlah Ibnu Salul memperoleh upah.

Sebelum Rasulullah berhijrah ke Madinah, Ibnu Salul sudah memaksa hamba-hamba wanitanya daripada kaum Yahudi untuk bekerja sebagai pelacur, termasuk Masikah. Dia telah membuka rumah pelacuran, yang mana di bahagian depannya dikibarkan bendera merah. Para pedagang dan kabilah-kabilah yang merantau sering datang ke sini untuk melampiaskan nafsu.

Selepas peristiwa hijrah berlaku, Masikah telah mendekati wanita-wanita kaum Ansar. Dari situlah dia mendapat hidayah dan bertemu dengan jalan Allah. Dia juga dapat merasai kebenaran ajaran yang dibawa oleh Rasulullah.

Sehinggalah pada suatu hari, Masikah berasakan sudah sampai masanya untuk bertaubat dan lari daripada jerutan dosa. Akhirnya, dia tekad melarikan diri dari rumah pelacuran itu dan menuju ke rumah seorang wanita tua yang pernah menceritakan kepadanya tentang al-Quran. Wanita itu tinggal seorang diri, dan menerima Masikah dengan tangan terbuka.

Keesokan hari, wanita itu membawa Masikah ke Masjid Nabawi untuk bertemu dengan Rasulullah. Di pekarangan masjid, mereka telah terserempak dengan Abu Bakar As-Siddiq.

Abu Bakar terhenti, dan sempat melihat keadaan Masikah yang luka-luka. Kemudian, wanita tua yang bersama Masikah menceritakan bahawa ia adalah perbuatan Ibnu Salul yang telah memaksa Masikah untuk melacur.

Abu Bakar kemudian masuk semula ke dalam masjid dan menceritakan apa yang telah dialami oleh Masikah. Mendengar penjelasan itu, Rasulullah diam seketika. Kemudian, turunnya wahyu daripada Allah yang berbunyi;

“Dan jangan kamu memaksa hamba-hamba wanita mu untuk melakukan pelacuran (sedangkan mereka sendiri inginkan kesucian) kerana kamu berkehendakkan kesenangan hidup di dunia. Dan barang siapa yang memaksa mereka, maka sesungguhnya Allah (sesudah paksaan yang dilakukan kepada mereka) Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”  (Surah an-Nur; ayat 33)

Masikah menyedari bahawa ayat tersebut telah diturunkan berkaitan dengan dirinya. Maka, hatinya menjadi semakin teguh kepada Islam.

Sementara itu, berita tentang Masikah telah tersebar ke seluruh pelosok Madinah dan orang ramai mengetahui bahawa Ibnu Salul telah bertindak kejam terhadap hamba wanitanya.

Sejak peristiwa itu, perniagaan rumah pelacuran Ibnu Salul semakin merosot dan akhirnya terpaksa ditutup kerana tidak mendapat sambutan.