Rambut! Ya, kali ini aku ingin bercerita fasal rambut pula. Kau orang jangan terkejut atau marah, ya. Ah, mereka yang ada rambut dan cantik pula, mesti tak akan marah. Tapi bagi yang rambutnya dah tinggal separuh, dah mula ditumbuhi uban, atau yang langsung tiada rambut, mesti bengang bila aku buka topik rambut, kan?

Bercakap fasal rambut, aku teringat pada seorang kawan. Dulu rambutnya lebat. Tapi bila usianya makin meningkat, rambutnya pula bukan turut meningkat, tapi makin menipis. Sekarang, sebahagian besar rambut di bahagian hadapan kepalanya telah ‘menghilangkan diri’.

Habis juga RM5,000 dia belanjakan semata-mata mahu kembalikan semula rambutnya yang makin hilang itu. Tapi semuanya sia-sia! Ah, asyik cakap fasal rambut orang, rambut di kepala aku pun sama – makin hari makin menipis. Kah! Kah! Kah!

Sebenarnya, apa yang hendak aku ceritakan ini tak ada kaitan dengan masalah rambut. Cuma, ia adalah merupakan satu eksperimen. Ya, penyelidikan yang melibatkan rambut. Nak tahu apa dia? Boleh terus membaca.

Eksperimen ini mudah saja. Sesiapa boleh melakukannya. Tak semestinya ahli saintis atau dalam makmal saja. Syaratnya, kau orang kena ada rambut.

Begini, mula-mula kau orang sediakan seurat rambut yang agak panjang. Mesti rambut dari kepala kita sendiri. Kemudian, kau orang dapatkan sebentuk cincin emas.

Tak ada cincin emas? Tak apa, cincin apa-apa pun boleh. Jangan cincin plastik, sudahlah.

Okey, seterusnya ambil satu cawan kosong ataupun gelas. Isi air putih biasa di dalamnya. Air paip pun boleh. Jangan sampai penuh. Cukup sekadar setengah gelas saja.

Dah sediakan semuanya? Kalau sudah, kau orang boleh pergi ke langkah seterusnya.

Sekarang, ikat rambut itu pada cincin emas tadi. Pegang rambut yang telah diikat dengan cincin emas berada di atas gelas yang telah berisi air tadi. Tunggu beberapa saat. Tengok, apa yang berlaku?

Cincin tersebut mula berayun dengan sendiri? Kalau ya, itu bermakna eksperimen kau orang dah berjaya.

Apa? Ianya berayun kerana ada angin yang meniup cincin? Kalau macam tu, cuba tutup semua tingkap dan mana-mana lubang yang ada tiupan angin. Kemudian, lakukan sekali lagi kaedah tadi. Macam mana? Cincin itu masih berayun? Ya, biarpun ia dilakukan di tempat tertutup dan tiada angin, cincin itu masih berayun.

Untuk lebih menarik lagi, cuba kau orang kira sampai ke angka berapa cincin itu berayun dan akhirnya berhenti. Sampai kiraan 20? 30? Atau sampai kiraan 40…? (Untuk lebih ‘menyeramkan’, boleh lakukan eksperimen ini waktu sunyi tengah malam).

Ada kawan beritahu aku, kononnya sampai kiraan berapa cincin itu berhenti berayun, maka angka itulah kau orang akan bertemu jodoh.

Contohnya, jika cincin itu hanya berhenti berayun bila sampai ke kiraan 25, bermakna bila berusia 25 tahun kau orang akan bertemu jodoh. Kalau kiraan 40, masa umur 40 tahunlah dapat jodoh.

Tapi, kalau orang itu sudah ada isteri dan buat eksperimen ini, mungkin akan naik pelamin lagi. Tapi, kalau kiraan ayunan itu lebih rendah daripada usianya, hmmm… mungkin maknanya kubur dah panggil mari la kut. Ha! Ha! Ha!

Kau orang jangan percaya semua ini tau. Aku cerita untuk suka-suka saja. Yang pasti, cincin itu akan sentiasa berayun. Kenapa dan mengapa? Aku pun tak tahu. Hanya para saintis ada jawapannya.