ADA dua kisah yang saya ingin kongsikan dengan pembaca Mastika. Kedua-dua kisah ini berkaitan dengan pengalaman saya menguruskan jenazah selama lebih 10 tahun.

Kisah pertama terjadi lebih kurang tujuh tahun yang lalu. Kejadian ini berlaku dalam bulan Ramadan. Saya mendapat khabar salah seorang kenalan yang tinggal dalam kawasan perumahan saya meninggal dunia.

Oleh sebab waktu berbuka puasa sudah hampir, saya beritahu kepada rakan-rakan lain saya akan singgah ke rumah arwah pada waktu malam selepas solat sunat tarawih.

Saya teringatkan arwah. Orangnya kecil molek, berkulit cerah. Saya tidak pasti nama penuhnya, tapi kami memanggilnya Farah. Seingat saya, Farah meninggal pada usia lingkungan 40-an.

Farah sememangnya terkenal dalam kalangan kanak-kanak di kawasan perumahan kami. Dia hanyalah seorang suri rumah tangga dan mengambil upah menjahit baju. Apa yang saya perasan, Farah gemar menjahit baju kanak-kanak. Cara dia melayan anak-anak tersebut ketika mengambil ukuran badan mereka membuatkan anak-anak kecil senang dan suka dengannya.

Selepas tarawih, saya terus ke rumah arwah. Sewaktu masuk ke dalam rumah, saya lihat jenazah Farah terbaring di ruang tamu. Saya dekati suami arwah yang duduk di sisinya. Kain nipis yang menutup muka Farah diselak. Saya lihat wajah Farah yang kekuningan, mungkin kerana kesan ubat-ubatan yang diambilnya. Farah meninggal dunia setelah beberapa tahun melawan penyakit kanser payudara.

“Esok pagi-pagi Kak Ton dengan kawan-kawan lain akan tolong mandikan Farah di surau ya,” kata saya kepada Fadhil, suami Farah.

Sebelum pulang malam itu, saya turut membawa bersama kain kafan arwah kerana ingin memotongnya siap-siap di rumah.

Keesokan harinya, saya dan beberapa orang rakan tiba di surau taman perumahan kami. Orang ramai sudah mula berkumpul di pekarangan surau. Selepas jenazah tiba, saya ajak rakan-rakan untuk mempercepatkan segala urusan.

Alhamdulillah, walaupun sudah lebih 12 jam, jenazah Farah senang diuruskan. Tubuhnya juga masih lembut seolah-olah baru sahaja meninggal dunia. Semua urusan daripada memandikan hingga mengapankan jenazah berlalu dengan pantas, tiada apa-apa masalah.

Kemudian, saya beritahu pada rakan-rakan yang lain, “Kak Ton nak bedakkan Farah. Sewaktu hayatnya, Farah ni seorang yang kemas. Jadi Kak Ton nak tengok Farah ‘pergi’ juga dengan kemas,” terasa sebak dada saya sewaktu menuturkan kata-kata itu.

Perlahan-lahan saya sapukan bedak pada wajah arwah. Dalam hati saya tidak putus berdoa kepada Tuhan agar diampunkan dosa dan diberkati jenazah di hadapan saya ini.

Selesai memakaikan bedak pada wajah Farah, muka arwah berubah jadi kemerah-merahan, seolah-olah kembali bernyawa. Wajahnya jadi berseri-seri bagaikan orang yang sedang tidur. Tidak pucat langsung.

Urusan pengebumian Farah juga berjalan lancar, semuanya dipermudahkan. Setelah selesai, seorang rakan yang turut membantu saya menguruskan arwah Farah tiba-tiba bersuara.

“Cantik berseri wajah arwah tadi kan Kak Ton. Mungkin sebab masa hayatnya dia baik dengan semua orang,”  kata Yati sambil mengesat hujung matanya yang berair.

Apa yang dikatakan Yati itu ada benarnya. Seingat saya Farah sememangnya seorang yang amat menyenangkan. Dia tidak banyak cakap, tetapi tidak pula sombong. Semasa hayatnya, Farah rajin ke surau walaupun dia menderita penyakit kanser. Dia juga seorang yang tidak lokek dan sangat baik dengan budak-budak.

Walaupun sudah hampir tujuh tahun kejadian ini berlalu, semuanya masih segar dalam ingatan saya.

Ini kisah Tok Cantik   

Kisah yang kedua ini berlaku pada tahun 2009. Sedang sibuk memasak di dapur, saya mendapat panggilan daripada seorang rakan mengkhabarkan pemergian Tok Cantik.

“Kak Ton, Tok Cantik meninggal dunia subuh tadi. Minta Kak Ton datang untuk tolong uruskan jenazah,” beritahu Azmi, jiran yang menelefon saya.

“Tok Cantik dah tak ada… Innalillah…” hanya itu yang mampu saya ucapkan.

Selepas memberitahu beberapa orang rakan yang selalu membantu saya menguruskan jenazah, saya bersiap-siap ke rumah Tok Cantik.

“Macam manalah jenazah dia nanti tu…” ada bisik-bisik kurang enak yang saya dengari. Penduduk kawasan setempat sememangnya tahu perihal kehidupan Tok Cantik.

Siapa tak kenal Tok Cantik, antara wanita yang dikenali di kawasan kejiranan kami dengan keramahannya. Dia dipanggil Tok Cantik oleh kanak-kanak sekeliling.

Tok Cantik tinggal berdua dengan suaminya. Anak-anaknya sudah besar dan ada keluarga sendiri.

Saya kenal baik dengan Tok Cantik. Dia memang seorang yang baik dan ramah. Malahan, kanak-kanak di kawasan perumahan ini juga suka melepak dengan Tok Cantik kerana sifatnya yang pemurah. Sering kali dia memberikan duit buat anak-anak kecil membeli gula-gula.

Mengenangkan sifat baik Tok Cantik, saya sedikit marah apabila terdengar bisik-bisik kecil begitu. Saya hanya menjeling tajam ke arah mulut-mulut yang bersuara. Apa pun yang dilakukan oleh arwah sepanjang hayatnya, biarlah urusan tersebut antara dia dengan Sang Pencipta. Tak layak rasanya kita sebagai hamba untuk menjatuhkan hukuman.

Setibanya saya di pekarangan rumah Tok Cantik, saya disambut oleh suami dan anak-anaknya. Tanpa membuang masa saya terus menuju ke arah jenazah. Urusan begini tidak elok dilengah-lengahkan.

Dua tiga orang rakan yang sudah biasa membantu saya menguruskan jenazah mula melakukan tugasan masing-masing tanpa perlu disuruh.

Kain yang menutupi muka jenazah dibuka, terlihatlah wajah Tok Cantik yang kini sudah tidak bernyawa lagi. Wajahnya bersih, seperti sedang lena dalam tidur.

Urusan memandikan jenazah berjalan lancar. Tubuh Tok Cantik masih lembut seakan-akan baru sahaja meninggal dunia. Dalam masa yang singkat, kesemua proses berjaya diselesaikan.

Tiba-tiba saya didatangi oleh Zurin, seorang kenalan yang tinggal di kawasan perumahan yang sama.

“Kak Ton, tadi masa mandikan awah tu tak ada ke apa-apa benda pelik jadi?” Zurin bertanya tanpa rasa bersalah.

Saya tergamam sebentar mendengar soalan itu. Zurin kemudian menyambung “Yalah Kak Ton, bukan kita tak tahu macam mana kehidupan Tok Cantik tu…”

“Tak ada apa-apa masalah pun Zurin. Kamu sendiri tengokkan wajah arwah berseri-seri tadi. Pasal hidup dia dahulu tak payahlah kamu nak sibuk-sibuk. Itu semua urusan arwah dengan Allah. Kita sendiri tak tahu bagaimana nasib kita nanti,” jawab saya.

Fikiran saya melayang tentang Tok Cantik. Orangnya baik. Walaupun sudah berusia 60-an, dia tampak muda dan masih cantik. Dia juga seorang yang suka berkongsi cerita. Kalau berjumpa dengannya, pasti ada sahaja cerita yang ingin diberitahu. Tetapi ada suatu kisah yang betul-betul mengusik hati saya.

“Ton, tok ni tak reti membaca. Masa kecil-kecil dulu tok tak pergi sekolah, mak ayah tak ada duit nak hantar. A B C pun tok tak reti, inikan pula alif ba ta,” luah Tok Cantik pada saya.

“Tok ni teringin sangat nak pergi surau, sembahyang dan mengaji sama-sama, tapi tok tak reti Ton. Tok malu. Tok bukan tak cuba hendak belajar, mungkin sebab tok dah tua, semuanya susah nak dihafal” ada nada sebak dalam suaranya.

“Tok hanya hafal al-Fatihah, yang selebihnya memang tok tak reti Ton. Kalau tok mati macam manalah nanti. Mungkin Tuhan campak tok ke neraka. Tok takut Ton…”  saya lihat mata Tok Cantik bergenang.

Mungkin kerana imannya yang sedikit itu, Allah selamatkan Tok Cantik daripada balasan di dunia. Kita tak tahu bagaimana besarnya rahmat Allah pada semua hamba-Nya. Sebaiknya hindarkan daripada berburuk sangka sesama manusia. Mungkin dia nampak hina pada pandangan mata kita, namun istimewa di sisi yang Esa.

Saya teringat ayat yang berbunyi, “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” (al-Hujuurat 49: 12)

 

Nota: Kisah di atas diceritakan berdasarkan pengalaman Zaiton Ahmad, 56 tahun. Zaiton merupakan salah seorang daripada tenaga pengurusan jenazah di Kajang, Selangor.