PADA 2 Ogos 1964 – kapal perang Amerika Syarikat (AS), USS Maddox yang berlabuh di Teluk Tonkin telah diserang oleh tentera laut Vietnam Utara. Warga Amerika bingung memikirkan bagaimana negara sekecil itu berani menyerang kuasa tentera terbesar dunia itu.

Rakyat dunia turut terperanjat dan menyatakan rasa simpati terhadap warga Amerika. Mereka mengutuk sekerasnya-kerasnya tindakan kerajaan Vietnam Utara yang telah melancarkan serangan ke atas USS Maddox tanpa sebarang sebab-musabab yang jelas.

Serangan tersebut berlaku ketika tentera Amerika sedang menjalankan misi De Soto di pesisir pantai Teluk Tonkin. Perairan tersebut dianggap sebagai wilayah pengawasan Amerika Syarikat untuk menghadapi komunis. Ketika itu, Vietnam Utara dan Vietnam Selatan sedang berada di ambang peperangan saudara.

Dengan serta-merta sentimen antiperang rakyat Amerika mula pecah. Mereka tidak sanggup merelakan kedaulatan negara Amerika yang tercinta diragut begitu sahaja.

Dewan Senat dan Dewan Kongres telah mengadakan sidang tergempar. Dengan sebulat suara elit politik Amerika telah meluluskan Resolusi Teluk Tonkin.  Dengan termeterainya ketetapan ini, maka Amerika Syarikat dengan sendirinya telah mendapat mandat untuk memerangi Vietnam Utara. Undang-undang seperti Patriot Act telah diluluskan tanpa banyak perbincangan.

Pada 5 Ogos 1964, presiden Amerika Syarikat ketika itu, Lyndon B. Johnson telah memerintahkan pasukan tentera udara AS untuk melancarkan serangan terhadap pangkalan-pangkalan kapal perang Vietnam Utara. Puluhan pesawat penggempur F-8 telah membedil pangkalan kapal yang berpusat di Ouang Khe. Serangan serupa turut dilanjutkan di pelabuhan Hon Gai.

Serangan udara itu bertujuan untuk melawan kekuatan komunis mendapat sokongan banyak pihak. Dengan kelengkapan senjata canggih dan pasukan ketenteraan yang terdiri lebih daripada sejuta orang, AS dijangka menang mudah dalam peperangan itu.

Namun, gerila Vietkong yang mewakili pasukan ketenteraan Vietnam Utara tidak mudah menyerah kalah. Mereka menyerang markas-markas tentera AS di Saigon, Bien Hoa serta Hanoi dan menyebabkan tentera AS terkorban.

Presiden Johnson kemudiannya memerintahkan pasukan ketenteraan melancarkan operasi tempur berskala besar – Operation Flaming Dart – di kota Da Nang.

Misi tersebut cenderung menjadi serangan udara yang membabi buta. Tetapi ia terus mendapat tentangan hebat gerila Vietkong dan mereka langsung tidak pernah menyerah kalah. Semakin banyak nyawa yang terkorban dan kemusnahan berlaku di merata-rata tempat.

 

Kota Saigon, 1 Februari 1968

PERANG berlanjutan selama hampir empat tahun. Di kota-kota besar seperti Saigon, pertempuran di antara tentera AS dan gerila Vietkong masih berterusan. Tiada tanda ia akan berakhir. Bunyi letupan daripada senjata-senjata membingitkan suasana kota. Kereta-kereta perisai kelihatan berselirat memenuhi jalan raya di Saigon.

Di sebatang jalan utama di kota raya itu, seorang wartawan profesional warga Amerika Syarikat dari Associated Press, Eddie Adams telah turun ke medan pertempuran untuk melaporkan suasana perang yang masih berlanjutan.

Beliau bersama jurukamera televisyen NBC, Vo Suu telah ditugaskan untuk melaporkan peristiwa pemberontakan Tet yang dilancarkan oleh gerila Vietkong ke atas pasukan ketenteraan Amerika Syarikat.

Tidak jauh dari lokasi mereka, Adams telah melihat Ketua Polis wilayah Vietnam Selatan, Jeneral Nguyen Ngoc Loan sedang mengacukan pistolnya ke arah kepala seorang gerila Vietkong yang tangannya sedang terikat.

Tanpa membuang masa, Adams segera membidik kamera beliau ketika Ngoc Loan cuba menarik picu pistol di tangannya. Lelaki yang ditembak itu pula ialah Nguyen Van Lém, ketua gerakan gerila Vietkong di Saigon.

Adams kemudian kembali ke Amerika. Foto peristiwa pembunuhan berdarah itu segera dicetak dan menjadi tajuk utama pelbagai akhbar di seluruh dunia.

Dalam masa yang sama, ia telah menimbulkan reaksi keras masyarakat awam, terutamanya dari kalangan aktivis antiperang hak asasi manusia. Semangat antiperang warga Amerika mula memuncak. Malah, senat Amerika juga turut mendesak agar pemerintah segera menarik pasukan ketenteraan mereka di Vietnam.

Foto tersebut telah menjadi imej paling ikonik dalam sejarah perang dunia sehingga ia telah memenangi Hadiah Pulitzer pada tahun 1969. Bahkan, ia terus diulang cetak untuk tahun-tahun berikutnya dan menjadi antara gambar yang paling popular di dunia sehingga kini.

SELEPAS penyebaran gambar tersebut, nasib Nguyen Ngoc Loan berubah serta-merta. Dia telah dikecam dan dipulaukan sehingga akhir hayatnya. Sekalipun media tempatan cuba untuk memulihkan reputasi beliau, namun kecaman itu terus hadir bertalu-talu tanpa sesiapa pun dapat menangkis.

Beberapa hari selepas gambar tersebut disiarkan, Ngoc Loan telah ditembak oleh seorang aktivis tempatan. Wartawan Australia, Pat Burgess telah menolong sang jeneral yang cedera dan membawanya ke hospital. Meskipun nyawanya berjaya diselamatkan, namun kaki beliau terpaksa dipotong.

Demi alasan keamanan dan keselamatan keluarganya, Ngoc Loan akhirnya bersara dari medan pertempuran dan membuat keputusan untuk berpindah ke Amerika Syarikat.

Dengan bantuan pemerintah AS, Ngoc Loan telah mendirikan kedai makanan segera di Washington DC, Burke dan Virginia. Namun, usahanya tidak bertahan lama.

Setelah pihak media mendedahkan identiti beliau, Ngoc Loan kembali menerima ancaman dan ugutan. Malah, kesemua unit kedainya telah diconteng oleh aktivis antiperang dan hak asasi kemanusiaan AS.

Pada suatu ketika, Adams sendiri sempat menemui Ngoc Loan di kedainya dan melihat sendiri anak-anak muda Amerika melakukan aksi vandalisme yang meninggalkan pesanan berupa ancaman dan kata-kata nista. Beliau sama sekali tidak menyangka, selembar foto yang dibidiknya telah menimbulkan sifat kebencian nasional ke atas bekas ketua polis itu.

Adams kemudian membuat permintaan maaf secara terbuka kepada Ngoc Loan dan keluarganya di atas semua penderitaan yang mereka alami. Hanya melalui sekeping foto, ia telah mendorong masyarakat awam menghakimi reputasi Ngoc Loan secara negatif dan telah menamatkan karier sang jeneral.

Nguyen Ngoc Loan meninggal dunia pada 14 Julai 1998 akibat penyakit kanser yang dihidapinya sejak berpindah ke Amerika Syarikat. Ketika majlis pengebumian berlangsung, Adams mengajak masyarakat awam memaafkan bekas ketua polis wilayah Vietnam Selatan itu.

Bagi Adams, dalam peristiwa 1968 tersebut, Nguyen Ngoc Loan telah menjalankan tugasnya melindungi warga AS dan kepentingan pemerintah mereka di Vietnam.

 

New York, Amerika Syarikat. Tahun 2005.

PERANG Vietnam yang dipacu oleh insiden Teluk Tonkin ternyata telah menelan kos yang amat tinggi. Lebih 60,000 tentera AS terkorban dan kos peperangan dikatakan mencecah 1 bilion Dolar.

Ekonomi AS telah mengalami penyusutan dan kekalahan Amerika telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada rakyatnya.

Setelah lebih 40 tahun berlalu, seorang ahli sejarah Amerika Syarikat, Robert J. Hanyok telah melakukan kajian mengenai insiden itu.

Dalam penyelidikannya, beliau cuba untuk mencari jawapan mengapa kerajaan Vietnam Utara telah melancarkan serangan ke atas USS Maddox pada tahun 1964.

Namun, Robert J. Hanyok tidak menemui sebarang bukti yang menunjukkan kapal USS Maddox diserang atau dibedil. Beliau menyatakan serangan itu tidak pernah berlaku dan ia hanya sekadar rekaan semata-mata. Kajian tersebut telah diterbitkan oleh Agensi Keselamatan Negara Amerika Syarikat pada 2005 dan dipetik akhbar New York Times.

Dalam kesimpulannya, Robert menyatakan ia hanyalah konspirasi Presiden Johnson. Konspirasi itu sengaja direka cipta oleh pihak atasan Amerika Syarikat untuk memecahkan sentimen antipeperangan rakyat Amerika dan menghalalkan serangan mereka ke atas Vietnam Utara. Hmm… salah satu konspirasi Amerika yang akhirnya memakan diri sendiri!