KOK! KOK! KOKK! KOOKKKKK!

ENJIN motosikal dimatikan. Hasmizan Ahmad, 41 atau mesra disapa Izan, memasang telinga. Bunyi kokokan seekor ayam hutan dari ladang sawit yang terletak di Kota Tinggi, Johor itu benar-benar menarik perhatiannya.

“Dah banyak kali dengar suara ayam ni. Tapi tak dapat-dapat tengok lagi. sedap sungguh!” Izan bersuara sendirian.

Memang Izan tertarik dan teringin benar hendak menangkap ayam itu. Sebabnya, suara ayam itu berlainan sungguh dari ayam lain. Suaranya lantang, merdu dan nyaring.

Jarang Izan dengar suara kokokan ayam sesedap itu. Kalau disamakan dengan manusia, suara ayam jantan itu selunak suara Jamal Abdillah.

Sebab itulah, setiap kali cuti, Izan akan ke lokasi tersebut. Dia memang bersungguh-sungguh mahu menangkap ayam tersebut.

“Tak apa… hari ni mesti dapat Jamal Abdillah tu,” bisik Izan sambil menggosok-gosok kepala denak yang diberi nama Buta kerana denaknya itu buta sebelah mata.

Walaupun mempunyai kekurangan, Buta denak kesayangan Izan. Buta jarang mengecewakannya.

Malah rakan Izan sendiri memuji kehebatan Buta kerana mampu menarik perhatian ayam liar lain untuk berlaga sebelum terjerat pada racik.

Selepas memilih lokasi sesuai di bawah pokok sawit, Izan memasang racik separuh bulatan di depan denaknya. Apabila ada ayam liar datang mahu bersabung, ayam itu akan terjerat pada racik tersebut.

KOK! KOK! KOKK! KOOKKKK!

KOK! KOK! KOKK! KOOKKKK!

Denak Izan terus berkokok. Suara Buta tidak henti-henti berbunyi sehingga kedengaran ke segenap pelosok ladang sawit. Izan pula duduk mencangkung di sebalik rimbunan semak samun, mengintai- ngintai dari jarak 20 meter.

Hampir 10 minit, riuh rendah suara Buta mencabar ayam jantan lain. Tidak lama kemudian kedengaranlah bersahut-sahutan suara ayam lain membalas panggilan. Nun di tepi belukar seekor ayam jantan terbang ke arah denaknya.

Dari sebalik tempat persembunyian, Izan memerhati. Izan belum pasti, adakah ayam itu yang dicarinya selama ini. Adakah itu gerangan ayam bersuara Jamal Abdillah?

KOKK! KOKKK! KOKKK! KOOKKKK!

“Oooo! Ni rupanya Jamal Abdillah. Boleh tahan jugak,” bisik Izan tersenyum apabila mendengar suara ayam tersebut. Sah! Memang itu ayam yang diimpikannya selama ini.

Mengekori ayam jantan itu, tiga ekor ayam betina. Bini-bini ayam tersebut barangkali.

Ayam hutan liar yang digelar Jamal Abdillah tadi mula menghampiri denaknya sambil berkokok. Sekejap berjalan ke kiri, sekejap menyendeng ke kanan. Ia cuba mengacah-acah denak Izan. Buta pula terus berkokok sambil mengibas-ngibas kepak, mencabar ayam tadi untuk berlaga. Semakin lama, ayam itu semakin dekat. Izan pula semakin berdebar.

Namun hampir dua jam menunggu, ayam hutan liar itu langsung tak mahu berlaga. Ia hanya mencabar denak Izan dengan suara sahaja.

Izan mula pelik. Berdasarkan pengalamannya, jika dilihat pada ayam tersebut ia bukan calang-calang ayam.  Suaranya yang lantang dan nyaring sudah menunjukkan ia ayam hebat.

“Denak aku dah cabar. Tapi kenapa tak nak berlaga jugak,” bisik Izan tertanya-tanya.

Namun sehingga menjelang tengah hari, ayam itu hanya melihat sahaja denaknya sebelum menghilangkan diri. Izan memulas penumbuk. Sakit hati betul dia dibuatnya.

Sudahlah badannya gatal-gatal disengat nyamuk tak henti-henti, seekor ayam pun tak dapat.

Disebabkan Izan tahu sekitar lokasi tersebut banyak ayam hutan, selang tiga hari, Izan datang lagi. Tak dapat Jamal Abdillah, ayam lain pun Izan tak kisah.

Jarak lima ratus meter dari lokasi sebelumnya, Izan memasang racik. Denaknya ditambat di bawah pokok sawit tersebut.  Buta mula berkokok memanggil ayam-ayam lain.

Setengah jam kemudian, muncul seekor ayam hutan. Izan yang menyorok di sebalik pokok sawit menunggu penuh sabar. Mulutnya tak habis-habis berdoa agar ayam itu terjerat pada racik.

“Ralat betul kalau tak dapat!” kata Izan sambil terbayang yang malam itu, menu dia sekeluarga berlaukkan ayam hutan.

Sedikit demi sedikit ayam tadi menapak ke depan, mahu berlaga dengan denaknya dan …

KOK! KOKK! KOKKK! KOKKKKKK!

KOK! KOKK! KOKKK! KOKKKKKK!

Tiba-tiba muncul pula seekor ayam hutan lain. Kemunculan ayam itu menyebabkan ayam pertama bertempiaran lari.

“Eh! Tu ayam Jamal Abdillah,” bisik Izan bila dengar suara kokokan dan warna ayam yang baru muncul itu.

Izan bengang lagi. Kemunculan Jamal Abdillah telah menakutkan ayam-ayam lain. Tiada ayam lain mahu datang mencabar denaknya.

“Cis! Tak guna punya Jamal. Dah la tak nak bergala, kacau ayam lain pulak,” bebel Izan dalam hati. Akibatnya, hari itu Izan kempunan. Dia pulang tangan kosong.

Izan tak berputus asa. Esok, lusa, tulat dicubanya lagi di kawasan sekitar. Tapi hampeh! Dia tetap gagal. Seekor pun tak terjerat pada racik.

Pun sama, setiap kali ada ayam datang, pasti si Jamal Abdillah, ayam idamannya sebelum ini muncul, membuat kacau dengan menghalau ayam-ayam lain menghampiri racik.

Balik ke rumah, Izan termenung. Pelik betul apa yang dilihatnya. Berdasarkan pengalamannya, seekor ayam hanya berkeliaran dalam kawasannya sahaja. Biasanya dalam jarak dua hingga tiga ratus meter. Tapi si Jamal Abdillah berlainan. Jarak kawasannya lebih sekilometer.

“Entah-entah Jamal ni ketua ayam kut. Nilah penunggu ayam kat sini,’ bisik Izan mengagak.

Walaupun sudah banyak kali dikecewakan, semangatnya masih belum luntur. Izan belum berputus asa. Sikap ‘Jamal Abdillah’ itu membuatkan dirinya tercabar.

“Takpe… aku akan tangkap engkau. Tunggulah!” Izan berjanji.

Beberapa hari kemudian, Izan mengajak pula dua orang rakannya,  Salim dan Amy. Segala ciri-ciri ayam digelar Jamal Abdillah dan menjadi buruannya diceritakan.

Izan turut minta rakannya itu membawa denak terbaik. Bersama rakannya dengan dua ekor denak baru, mereka ke lokasi tersebut. Seekor baka dari Kedah dan seekor lagi dari Negeri Sembilan. Izan pula masih gunakan khidmat Buta. Apa yang Izan dengar, denak-denak rakannya pun tak kurang hebat.

“Kali ni mesti dapat Jamal Abdillah tu. Kalau tak dapat Jamal, yang lain pun jadilah. Janji ada,” kata Izan pada rakan-rakannya.

Izan turut memberi arahan supaya setiap seorang daripada mereka duduk dalam jarak satu ekar. Selepas tiga jam, mereka akan bertemu semula di lokasi berpecah.

Tiga jam kemudian, mereka bertemu semula. Tapi semuanya pulang dengan tangan kosong. Bila Izan tanya, ceritanya sama sahaja.

Cerita rakannya, sedang denak mencabar ayam lain masuk berlaga, pasti muncul seekor ayam jantan bersuara lantang dan nyaring membuat kacau dan menghalau ayam-ayam tadi menghampiri racik.

“La…engkau pun kena macam aku? Sah! Memang si Jamal tu. Dia ketua ayam-ayam kat sini,” kata Izan geleng-geleng kepala. Panas betul dia dibuatnya.

Bukan apa, raciknya pun sudah hampir menjerat ayam. Berdebar-bebar Izan menanti. Rasa nak terkencing pun ditahannya.

Tapi apabila sudah dekat, tiba-tiba muncul si Jamal Abdillah menghalau ayam-ayam tersebut.

Kalau boleh bercakap, mungkin si Jamal berkata begini, “Kamu semua jangan datang. Kat situ ada racik!”.

Bila Izan bangun dari tempat persembunyian, si Jamal Abdillah langsung tak takut. Ayam itu tak melarikan diri.

Ayam itu hanya memandang Izan penuh sinis. Tak pun mungkin sedang mentertawakannya kerana gagal menangkap ayam di situ.

“Sebab bengang, aku baling kayu. Geram betul aku. Ni semua sebab Jamal Abdillah, sekor pun tak dapat. Pengacau!” bebel Izan geram. Salim dan Amy hanya ketawa geli hati.

Tapi apa boleh buat. Dia sudah berusaha, nasib saja tak menyebelahinya. Izan pun sedar dalam hidup ini peluang bukan selalu datang. Dia pun sudah bekerja keras memikat Jamal Abdillah dan ayam-ayam lain, tetapi nasib saja tak menyebelahinya!