MALAM itu kira-kira lima tahun lalu, tidur saya terganggu apabila tersedak dan terbatuk secara tiba-tiba. Terasa seperti ada sesuatu masuk ke dalam rongga mulut hingga kerongkong jadi gatal.

Selepas itu, saya mula terbatuk-batuk hingga perut terasa bergelojak hendak memuntahkan isi di dalamnya.

Saya bangun dan bergegas ke singki dapur. Sebaik muntah mencurah jatuh ke dalam singki, saya tergamam. Terbeliak biji mata saya dibuatnya. Lendir muntah tadi bercampur darah hidup. Merah pekat.

“Aku penat sangat kut,” bisik hati saya cuba menenangkan diri sendiri sambil mengurut dada agar rasa lebih selesa.

Tapi batuk tadi berhenti sekejap saja sebelum menyerang semula. Akibat batuk tanpa henti, badan saya menggeletar. Sendi-sendi kaki dan tangan terasa kejang. Sakit bagai ada jarum tajam mencucuk.

Malam itu, saya tidak dapat tidur. Suami, mak dan anak-anak semua risau melihat keadaan saya. Mereka terkejut melihat saya batuk kronik secara tiba-tiba.

Esoknya, saya dikejarkan ke hospital oleh suami. Doktor yang merawat memaklumkan saya tiada sebarang penyakit. Hasil pemeriksaan, jantung dan paru-paru dalam keadaan baik. Tiada tanda saya mendapat jangkitan kuman.

Tidak berpuas hati, saya pergi pula ke hospital pakar. Pun sama jawapan yang diterima. Saya sihat!

“Tapi kenapa tiba-tiba saja aku batuk teruk macam ni?” bisik hati saya apabila pulang ke rumah. Sedang memikirkan penyakit ini, saya teringat kejadian sebelah pagi hari tersebut.

AWAL pagi itu, Kak Eton, seorang penduduk kampung kami datang ke rumah dengan membawa semangkuk bubur kacang.

“Ambillah. Ni akak sedekah,” kata Kak Eton menghulur mangkuk kaca berisi bubur. Cepat-cepat tangan saya menyambut pemberiannya itu.

“Terima kasih kak…” kata saya lalu kami berbual seketika sebelum Kak Eton meminta diri. Saya terus memerhatinya dari muka pintu hingga kelibatnya hilang daripada pandangan.

Sedang menapak ke dapur, ibu yang sedari tadi memerhati melalui tingkap bersuara.

“Tak payah makan lah bubur tu. Mak rasa macam tak sedap hati,” tegah ibu saya, Halimah.

Mendengar tegahan itu, saya terpinga-pinga. Kenapa ibu melarang saya makan bubur tersebut?

“Tengok air muka Eton tu macam ada niat tak baik aja. Macam tak jujur. Mak pelik tengok perangai dia tu,” jawab ibu saya.

Jawapan itu membuatkan saya ketawa. Saya tahu, mungkin ibu terasa pelik dengan sikap Kak Eton. Malah, saya pun terasa janggal menerima kunjungan Kak Eton secara tiba-tiba di awal pagi dengan semangkuk bubur kacang.

Sebabnya, hubungan saya dengan Kak Eton tidaklah serapat mana. Kami bertegur sapa apabila berselisih atau terserempak secara tidak sengaja. Itu pun sekadar bertanya khabar.

Setahu saya, Kak Eton memang seorang yang baik. Semua orang kampung suka dengan sikapnya. Dia mudah mesra, ramah selain ringan tulang membantu jiran-jiran.

“Mak jangan risau. Niat dia nak bersedekah kut. Nak eratkan silaturahim. Tak baik mak fikir macam tu,” jawab saya lalu meletakkan bubur di atas meja dan makan bubur tersebut. Malas saya hendak fikir bukan-bukan. Nanti menimbulkan fitnah pula. Lagipun tak baik berprasangka buruk dengan orang lain.

“LEPAS aku makan bubur tu, malamnya aku sakit,” saya bermonolog sendirian bila teringat tegahan ibu saya pagi itu.

Tapi saya tak mahu terus menuduh. Tak mungkin Kak Eton sanggup  kenakan saya. Kak Eton baik orangnya. Lagipun, apa salah saya sehingga dia sanggup buat perkara tak elok? Segala perkara buruk yang menjengah saya buang jauh-jauh.

Walaupun sakit, badan sentiasa lesu dan cepat letih, saya masih bekerja mengusahakan kedai runcit, bas sewa dan catering.

Namun lima bulan kemudian, keadaan saya makin teruk. Batuk saya semakin kronik. Selera makan hilang. Apabila menjamah makanan, saya akan muntah. Setiap malam, badan saya akan terasa panas, kebas-kebas selain kerap demam. Dada juga terasa sakit seperti dicucuk dengan jarum.

Lebih teruk, saya tak mampu berjalan. Sendi yang sakit menyukarkan saya hendak berdiri. Jika dicuba juga, saya terasa pening hingga akhirnya saya terjelepok jatuh.

Sakit misteri yang menyerang itu menyebabkan muka saya mula cengkung. Kulit saya jadi kering, mata pula sembam dan tenggelam sehingga memaksa saya hanya berehat di rumah. Beberapa perniagaan terpaksa ditutup kerana suami tak mampu uruskan seorang diri.

Sejak sakit, hampir setahun saya berulang alik ke hospital mencari penawar. Namun semua doktor yang merawat gagal mencari punca penyakit. Lebih menyedihkan, ada doktor berpendapat saya sudah gila. Saya dikatakan mempunyai masalah mental sehingga diarahkan menerima rawatan sakit jiwa.

“Kita cuba rawatan Islam pula nak?” tanya suami ketika saya terbaring lemah di atas katil.

Saya mengangguk. Apa cara sekalipun saya perlu berikhtiar. Tak tertanggung lagi sakit yang menyerang saya ini.

Saya kemudiannya dibawa menerima rawatan daripada beberapa orang Ustaz. Mengejutkan, semua yang merawat mengatakan saya telah disantau. Malah semasa rawatan, saya termuntah sehingga mengeluarkan benda pelik seperti serbuk kaca, miang buluh dan paku dari dalam tubuh.

“Awak ni kena santau. Ada orang dengki dengan awak,” beritahu Ustaz itu.

Memang saya terkejut. Siapa sanggup menyihir saya? Apa dosa saya pada mereka? Saya cuba bertanya siapa orang menyantau saya tapi ustaz tersebut enggan bercerita.

Selepas menerima rawatan Islam, keadaan saya semakin pulih. Saya sudah boleh tidur selain batuk mula berkurangan. Tapi fizikal saya masih lemah.

Namun saya masih tertanya-tanya siapa yang menyihir saya? Apa punca saya diperlakukan begini?

Sejak itu, selesai solat saya sentiasa berdoa kepada Allah. Saya minta Allah sembuhkan penyakit saya. Tidak lupa saya turut melakukan solat hajat meminta Allah tunjukkan individu yang menyihir saya. Bukan mahu membalas dendam tetapi sekadar mahu berhati-hati.

Hinggalah suatu pagi, sekali lagi saya menerima kunjungan Kak Eton. Kali ini Kak Eton datang dalam keadaan sebak. Macam ada beban ditanggungnya. Bila melihat saya, mukanya asyik memandang lantai.

“Tiba-tiba saja rasa nak sangat datang rumah ni. Akak rasa nak minta maaf dengan awak. Tiba-tiba rasa bersalah,” tiba-tiba Kak Eton bersuara perlahan.

“Maaf? Kenapa kak?” tanya saya. Apa pula salahnya dengan saya.

“Entah! Tapi akak nak minta maaf sangat-sangat,” kata Kak Eton tanpa menjelaskan punca sebenar. Kemudian dia berlalu pergi meninggalkan saya yang masih tertanya-tanya.

Sebaik Kak Eton jauh dari rumah, saya tersentak. Baru saya tersedar. Adakah Kak Eton yang menyihir saya? Tiba-tiba saja dia datang minta maaf tanpa saya mengetahui hujung pangkalnya.

“Bukan Kak Eton. Aku tak percaya!” kata hati saya menyangkal.

Beberapa minggu kemudian, sekali lagi Kak Eton bertandang ke rumah saya. Sebaik bertentang mata, Kak Eton terus memeluk dan mencium kedua-dua belah pipi berulang kali. Mulutnya tak henti-henti meminta maaf.

“Maafkan akak… Maafkan akak…” rintih Kak Eton.

Tindakan Kak Eton itu membuatkan saya tergamam. Saya terkedu sehingga tak mampu berkata-kata.

Masakan tidak, kali pertama Kak Eton datang minta maaf, saya masih tidak percaya. Tapi selepas itu, teringat doa saya setiap kali selesai solat agar orang yang menyihir saya datang minta maaf sambil peluk dan mencium kedua-dua pipi saya.

Kini, apa yang saya minta telah dibuat oleh Kak Eton. Allah sudah tunjukkannya.

“Takkan Kak Eton. Bukan! Syaitan saja nak aku bergaduh dengan Kak Eton,” kata saya sambil air mata berjurai selepas Kak Eton pulang.

Sukar saya hendak percaya. Bagi saya Kak Eton seorang yang baik, patuh pada agama selain disenangi semua orang. Dia pun bertudung labuh. Tak mungkin Kak Eton sanggup menyihir saya.

Beberapa bulan kemudian, saya berpeluang ke Mekah. Selain melakukan ibadah umrah, niat saya ke sana untuk mengubati penyakit yang masih berbaki. Mungkin keberkatan tanah suci, sakit saya akan sembuh.

Peluang berada di Mekah, saya berdoa supaya menyedarkan orang-orang yang menganiaya saya selain tunjukkan siapa dalang sebenarnya. Kali ini saya akan percaya siapa pun orangnya. Doa orang teraniaya ini dimakbulkan Allah. Itulah yang Allah tunjukkan.

Pulang dari Mekah, saya terima khabar mendukacitakan. Heboh orang kampung bercerita yang Kak Eton dan dua orang sahabat baiknya yang juga rakan saya menerima musibah. Apa musibah tersebut, biarlah saya rahsiakan.

Tapi musibah ini memang mengaibkan mereka. Malah lebih dahsyat, salah seorang  meninggal dunia secara mengejut apabila menghidap penyakit misteri.

Kejadian yang berlaku ini membuatkan saya menangis. Allah itu Maha Adil. Orang yang menganiayai saya sudah menerima balasan mereka. Cuma yang sedihnya tak sangka dalang-dalang itu merupakan rakan baik saya sendiri yang turut mengusahakan perniagaan seperti saya. Bila cemburu menguasai diri kerana perniagaan saya maju, mereka menggunakan sihir untuk menjatuhkan sahabat sendiri.

NOTA: Saya dalam cerita di atas hanya mahu dikenali sebagai Puan Izzah. Tujuannya berkongsi kisah ini sebagai iktibar agar masyarakat tidak menggunakan ilmu sihir merosakkan akidah selain boleh membuat orang lain menderita.