SUDAH! Tak kisah janda atau dara, jangan gaduh-gaduh. Nak lebih senang, baik kita selam fikiran orang lelaki. Agaknya, yang mana jadi pilihan hati mereka. Janda atau anak dara?

Kebetulan kami ada seorang rakan yang sama-sama belajar dulu. Iskandar namanya. Dia sudah dua tahun menjalin hubungan cinta dengan janda anak satu.

“Engkau bukan tak tahu, dulu aku pernah bercinta dengan anak dara. Tapi semua putus tengah jalan. Banyak benda yang tak serasi. Bercinta dengan gadis muda kena banyak sabar. Kadang-kadang aku bosan nak layan kerenah dia orang. Merajuk tak tentu pasal, asyik kena faham perasaan dia je. Habis, perasaan kita lelaki ni siapa pula nak jaga?” jawab Iskandar semasa kami tanyakan tentang pengalaman cintanya.

Kini, Iskandar akui sedang bahagia menyulam cinta dengan janda yang dipanggil Syira. “Dia tua lima tahun daripada aku. Tapi, sikapnya menyenangkan. Dia penyabar dan pandai jaga hati. Pemikirannya juga lebih matang. Dia kini sedang melanjutkan pengajian. Insya-Allah tahun depan kami nak kahwin lepas dia habis belajar,” beritahu Iskandar lagi.

Itu kisah kawan kami. Tak syok pula setakat bertanya pada orang yang memang kami kenal. Jadi, suatu petang kami berjalan-jalan di sekitar ibu kota Kuala Lumpur. Kami mahu buat tinjauan rambang.

Di sebuah food court yang dipenuhi orang ramai, kami nampak dua orang lelaki yang sedang duduk minum. Mereka berdua rakan sekerja. Seorang bernama Johan, berusia awal 30-an. Seorang lagi bernama Zaki, berusia lewat 20-an.

Lantas kami perkenalkan diri sebagai wartawan Mastika. Johan kelihatan teruja. “Nak interviu cerita hantu ke dik?” tanyanya sambil ketawa berdekah-dekah, bagaikan lawak benar soalan yang kami ajukan.

Daripada soal siasat kami, Johan sudah pun berkahwin dan mempunyai dua orang cahaya mata. Manakala Zaki yang agak pendiam pula masih bujang tetapi sudah ada kekasih.

Kami mulakan soalan. Janda atau anak dara? Yang mana jadi pilihan?

“Ha ha ha… pelik soalan kau ni dik. Aku dah kahwin pun, bukan ada makna kalau aku jawab soalan ni,” Johan menjawab sambil tersengih.

Joham sambung lagi,  “Tapi kalau diberi pilihan, mestilah anak dara. Ha ha ha… eh dik, kau jangan masukkan gambar aku pula. Mahu berperang pulak aku dengan orang rumah,” kata Johan pada kami. Ceh, muka boleh tahan bengis, takut bini juga rupanya.

“Pada akulah, kalau diberikan pilihan sekali lagi, mestilah nak anak dara. Buat apa pilih janda. Dah second hand,” ketawa Johan meletus lagi. Kami dah agak, selalunya bila diutarakan soal kahwin berkaitan dara atau janda, dalam kepala lelaki pastilah mengenai bab itu saja. Tak ada benda lain ke nak fikir? Huh, lelaki!

“Tapi zaman sekarang, nak kahwin anak dara ni kosnya tinggi. Hantaran sahaja dah puluhan ribu. Belum campur dengan wang majlis, photoshoot dan macam-macam hal lagilah. Kalau janda, kos nya lebih murah. Yalah, mereka pun dah merasa semua tu. Hanya buat yang wajib di sisi agama je,” belum sempat kami menyampuk, Johan menambah lagi.

“Macam baru-baru ni adik aku, nikah dengan budak perempuan belajar tinggi. Hantarannya tak payah ceritalah, semuanya sebab budak tu ada masters degree.  Tapi sayang, rupa saja cantik, kerja rumah satu pun tak reti buat. Goreng telur pun hangus. Kah kah kah!” berderai lagi tawa si Johan bila membahan kaum Hawa.

“Hmm… aku rasa tak adil untuk kita judge seseorang tu berdasarkan status dia. Lagi satu, aku rasa kedua-dua golongan, anak dara mahupun janda ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Pokoknya, niat kita nak memperisterikan mereka itu kerana apa? Kalau sekadar nafsu semata-mata, kau bagilah sepuluh perempuan lawa pun belum tentu cukup.

“Kau kata janda barang second-hand. Dengan gaya hidup moden zaman sekarang, kau yakin ke anak dara tu bukan barang second-hand? Berlambak je gadis-gadis yang dah hilang dara kat luar tu, tak kiralah pakai tudung atau tidak,” tiba-tiba Zaki yang sedari awal diam mula bersuara. Johan di sebelahnya mula terkulat-kulat. Mungkin terasa sedikit tamparan dengan pendapat pedas Zaki.

Kami hanya diam mendengar, ya kan tidak. Menolak pun tidak. Kami lihat Zaki agak serius. Lantas kami tanya, Zaki pernah bercinta dengan janda?

Lama Zaki terdiam sebelum menjawab soalan kami.

“Aku pernah bercinta dengan anak dara dan juga janda. Kalau nak tahu, kekasih aku yang sekarang ni janda…”

Tanpa perlu kami bertanya lebih lanjut, Zaki bercerita sendiri.

“Aku dah lama kenal kekasih aku sekarang ni. Dia janda anak dua, tetapi anak-anaknya tinggal bersama bekas suami,” kata Zaki.

“Mesti janda tip-top ni, badan ala-ala Rozita Che Wan, tak pun Nora Danish. Kalau macam tu, aku pun nak Zaki. Diam-diam je kau kan,” tiba-tiba Johan menyampuk, cuba berseloroh.

“Terpulang juga pada lelaki tu. Bagi aku, muka dan bentuk badan bukan sebab utama kenapa aku pilih kekasih aku sekarang ni. Kalau nak diikutkan, dia bukan lawa sangat pun, biasa-biasa saja. Cuma aku selesa berkawan dengan dia,” jawab Zaki. Johan sekadar mencebik.

Habis, apa yang Zaki cari sebenarnya dalam perhubungan? Kami tanya lagi.

“Pada aku, benda atas katil bukan segala-galanya. Tak kisah dara atau janda, yang penting adalah keserasian dalam hubungan. Kalau memang serasi dan ada persefahaman, soal status wanita itu tak perlu jadi pertikaian pun,” kata Zaki menjawab soalan kami.

“Yalah, betul apa kau cakap tu. Aku cuma bagi pandangan sebagai lelaki je. Biasalah, semua nak yang barukan. Kalau beli kereta pun, selalunya beli yang baru…” sampuk Johan sambil ketawa.

“Aku tak kata kau salah pun Johan. Aku cuma luahkan pendapat. Dah adik ni tanya, aku jawab. Tapi ingat Johan, kereta baru tak semestinya sempurna. Selalu juga kereta baru meragam, asyik buat hal,” ujar Zaki memperli Johan. Kali ini, Zaki pula tertawa sinis.