Seperti diceritakan oleh, Othman bin Markan, 44, kepada wartawan eksekutif Mastika.

Bertugas sebagai penggali kubur, memang banyak pengalaman yang saya lalui. Manakan tidak, sudah hampir 20 tahun saya bekerja sebagai penggali kubur.

Masih saya ingat, ada satu ketika saya pulang daripada mengebumikan jenazah pada tengah malam. Esoknya, abang ipar yang tinggal setaman dengan saya bertanya pada isteri saya.

Katanya, dia melihat saya bawa balik ‘seseorang’ ke rumah pada malam tersebut. Abang ipar kata begitu bila dia nampak ‘orang itu’ membonceng motosikal saya, sedangkan saya tidak bawa sesiapa.

Itu antara pengalaman seram. Pengalaman menginsafkan pun ada. Satu kejadian yang berlaku sekitar tahun 2000 ini, memang sukar hendak saya lupakan.

Saya masih ingat, pagi hari tersebut, saya dimaklumkan oleh ketua pengurusan tanah perkuburan bahawa kami akan mengebumikan satu jenazah. Keluarga si mati mahu jenazah dikebumikan menjelang tengah hari. Jadi, kami diminta bersiap sedia.

Selepas dimaklumkan begitu, saya segera hidupkan enjin motosikal dan terus menunggang ke tanah perkuburan yang terletak lebih kurang dua kilometer dari rumah.

Untuk pengetahuan pembaca, di tanah perkuburan kampung kami ini, lubang kubur sudah kami gali lebih awal. Biasanya, kami pastikan ada tiga buah lubang kubur kosong, sudah tersedia dan boleh menerima jenazah pada bila-bila masa.

Bukan apa, bila buat begitu, urusan pengebumian lebih senang. Tak perlulah kami kelam kabut nak gali lubang kubur bila dimaklumkan ada kematian. Malah, jenazah juga boleh dikebumikan pada bila-bila masa mengikut kehendak waris. Tak kiralah siang atau malam.

Macam hari itu, tiga buah lubang kubur tersebut saya dan rakan-rakan gali lebih kurang tiga hari lalu. Jadi, saya ke kubur hanya untuk menarah tanah bagi meluaskan liang lahad saja. Saya besarkan liang lahad mengikut saiz jenazah selain memperkemaskan lubang yang telah digali.

Sebaik tiba ditanah perkuburan, saya terus ke salah satu lubang kubur yang masih kosong itu.

Tapi, sebaik melihat salah satu lubang kubur, saya terkejut. Saya berasa pelik. Sebabnya, dalam liang lahad kubur yang telah digali itu dipenuhi air yang bertakung. Limpahan air itu hampir memenuhi permukaan liang lahad yang kami korek di bahagian tengah.

“Macam mana boleh ada air ni?” bisik hati kecil saya betul-betul hairan dengan apa yang berlaku.

Melihat kubur pertama digenangi air, saya tinjau pula kubur kedua yang jaraknya beberapa langkah saja dari kubur pertama. Sampai depan lubang kedua, saya meninjau ke dalam.

Sekali lagi saya terkejut. Rupanya, liang lahad kubur kedua juga dipenuhi air. Hati saya sudah tidak sedap. Lantas saya segera melihat lubang yang ketiga. Pun sama juga. Semua lubang yang sudah digali awal itu dipenuhi air.

Melihat kejadian itu, saya termenung. Pelbagai persoalan mula berlegar dalam kepala. Apa yang berlaku sebenarnya? Kenapa boleh jadi begini? Dari mana datangnya air ini?

Saya pelik sebab kejadian ini memang luar biasa. Sebagai penggali kubur yang sudah lama di sini, saya sudah arif keadaan tanah di perkuburan tersebut. Bagi saya, mustahil boleh ada air di sini.

Saya kata begitu sebab tanah perkuburan ini terletak di kawasan yang sedikit berbukit. Bukan di bahagian lembah atau tanah rendah. Belum pernah saya alami kejadian aneh begini sejak bertahun-tahun menggali kubur di sini.

Lagipun, semasa kami menggali ketiga-tiga lubang itu tiga hari lalu, tidak pula kami jumpa tanda-tanda air bertakung. Malah, sehari sebelum lubang kubur itu akan menerima jenazah, saya masih sempat melihat keadaan lubang tersebut. Memang elok kering. Tidak ada air yang bertakung.

Mak kata air itu datang dari air hujan, agak mustahil. Sejak kubur tersebut siap digali, kampung kami belum ditimpa hujan lagi. Cuaca panas. Matahari pun memancar terik.

Lagipun, pernah juga kami gali kubur lepas itu hujan. Kebiasaannya, masa hujan memang liang lahad dipenuhi air yang masuk. Tapi dalam masa empat jam, air hujan yang bertakung tadi akan meresap ke dalam tanah selepas hujan berhenti. Tak pernah bertakung sampai begitu sekali.

Jadi dari mana air boleh muncul dalam liang lahad itu?

“Buntu mencari jawapan, saya buat keputusan untuk cuba menimba air keluar,” cerita Othman.

Buntu mencari jawapan, saya buat keputusan untuk cuba menimba air keluar. Kalau hendak gali kubur baru, saya takut tidak sempat.

Tanpa berlengah, air yang bertakung itu saya timba keluar. Selepas beberapa lama menimba, air mula kering. Masa itulah baru saya nampak ada mata air yang mengalir perlahan, keluar dari dinding kubur. Kalau dibiarkan, air itu akan bertakung dan memenuhi liang lahad semula.

Melihat semua itu, saya tak dapat buat apa-apa. Apa yang boleh saya ikhtiarkan hanya menimba air keluar apabila jenazah tiba.

Walaupun berlaku kejadian begitu, alhamdulillah jenazah dapat dikebumikan. Mungkin selepas beberapa lama, jenazah tersebut akan berendam dalam air.

Kenapa boleh jadi begitu, saya tak ada jawapan tepat. Apa yang boleh saya katakan, itu mungkin kafarah untuk jenazah. Kalau nak kata kejadian begitu sebab tanah, pastilah kubur-kubur sebelum ini juga akan alami masalah sama. Ini tidak. Hanya bila mahu mengebumikan arwah saja kejadian ini berlaku.

Siapa gerangan jenazah itu, saya sendiri tak pasti. Adakah dia lelaki, atau perempuan, itu juga saya tak tahu. Bagaimana latar belakangnya semasa hidup, jangan tanya saya. Saya tidak mengenali jenazah itu. Saya hanya di arahkan untuk sediakan lubang kuburnya saja.

Bagi saya, apa yang berlaku memberi pengajaran kepada kita yang hidup. Macam saya yang sudah biasa dengan kawasan tanah perkuburan itu, melihat kejadian tersebut sesuatu yang menginsafkan.

Kita manusia yang diperlihatkan perlu mengambil pengajaran daripadanya. Saya yakin, apa yang berlaku itu bukan saja-saja atau kebetulan. Tapi ada hikmah di sebalik kejadian itu. Allah perlihatkannya supaya kita sentiasa berfikir dan mengingati mati.