Tyler Hadley, seorang remaja berusia 18 tahun, berasal dari Port St Lucie, Amerika. Seorang yang introvert, tidak banyak bercakap membuatkan tidak ramai yang sudi bersahabat dengannya.
Tyler juga mempunyai sikap yang sukar dijangka. Pernah satu ketika Tyler tiba-tiba menjerit sewaktu sedang belajar di dalam kelas. Anak kedua pasangan Mary Jo dan Blake Hadley ini juga pernah beberapa kali ditangkap atas kesalahan juvana.
Pada 16 Julai 2011, Tyler telah mengadakan sebuah parti hiburan di rumahnya. Pada mulanya tiada orang yang muncul di parti itu kerana mereka semua tahu ibu bapa Tyler tidak mungkin akan membenarkan dia mengadakan parti sedemikian.
Tyler memberikan pelbagai alasan tentang ibu dan bapanya. ‘Mereka tiada di rumah, mereka di Orlando’ – begitu antara jawapan yang diberikan oleh Tyler setiap kali ditanya tentang ibu bapanya.
Percaya dengan kata-kata itu, datanglah rakan-rakan ke rumahnya. Menjelang 12.00 tengah malam, hampir 100 orang berada di dalam rumah remaja itu. Keadaan rumahnya ketika itu hingar bingar dengan suara remaja berparti.
Tyler kelihatan sangat tenang biarpun keadaan rumahnya ketika itu sudah seperti tongkang pecah. Banyak perabot yang rosak. Tin-tin minuman keras bertaburan di dalam dan luar kawasan rumah. Puntung rokok bersepah di atas dapur, meja dan dinding rumah. Seolah-olah dipukau, Tyler langsung tidak kisahkan keadaan rumahnya.
Parti itu berakhir sekitar pukul 3.00 pagi.
Seketika kemudian, rumah Tyler diserbu oleh polis yang mendapat aduan tentang bunyi bising daripada jiran sekeliling.
Pihak polis menjumpai pelbagai jenis pil khayal bertaburan di lantai rumah. Tapi, yang paling mengejutkan apabila mereka menemui dua mayat tertimbun di bawah longgokan barang dalam bilik tidur utama rumah tersebut.
Semua yang hadir leka berparti. Mereka langsung tidak tahu bahawa Tyler telah membunuh ibu bapanya beberapa jam sebelum parti itu berlangsung.
Beberapa minggu sebelum kejadian, Tyler pernah meluahkan kepada rakan-rakannya yang dia ingin membunuh orang tuanya untuk mengadakan parti besar-besaran di rumah selepas itu.
Tetapi tiada seorang pun antara rakannya percaya dia akan betul-betul melakukan perkara tersebut. Rupa-rupanya, Tyler hanya menanti masa yang sesuai untuk dia melaksanakan ‘misi’ kejamnya itu.
Sewaktu parti liar itu berlangsung, Tyler ada memberitahu rakan baiknya, Micheal bahawa dia telah membunuh kedua-dua ibu bapanya.
Micheal yang menyangka Tyler sedang mabuk dan bergurau hanya tertawa sinis.
Tyler kemudiannya membawa Micheal masuk ke garaj kereta. Di situ Micheal dapat melihat sendiri kesan tapak kasut yang dipenuhi dengan darah.
Tyler kemudiannya membawa Micheal masuk ke bilik tidur utama rumahnya. Dua susuk tubuh dalam keadaan meniarap dan berlumuran darah terbaring kaku di dalam bilik itu.

********

Petang itu sebelum parti bermula, Mary Jo sedang asyik menggunakan komputer di salah satu ruang rumahnya. Tanpa disedari, Tyler sedang memerhatikan ibunya sambil tangannya memegang tukul besi.
Perlahan-lahan dia datang arah belakang dan mengayunkan tukul ke kepala ibunya. Bukan sekali, tapi berkali-kali sehingga Mary tidak bernyawa lagi.
Jeritan Mary waktu itu didengari oleh suaminya, Blake. Bergegas masuk ke ruang tersebut, dia terkejut melihat isterinya sudah terbaring berlumuran darah. Di samping Mary, berdiri Tyler tanpa rasa bersalah.
Blake yang terkejut bertanya mengapa Tyler sanggup membunuh ibunya.
“Kenapa tidak?” jawab Tyler sebelum bertindak menyerang bapanya pula. Blake menerima nasib yang sama. Kepalanya dipukul bertubi-tubi menggunakan tukul besi yang sama yang mengorbankan isterinya.
Tyler dikatakan mengambil tiga biji pil estacy sebelum melakukan pembunuhan kejam tersebut. Dia mengambil masa kira-kira tiga jam untuk membersihkan ‘kawasan’ kejadian sebelum mengajak rakan-rakan untuk berparti di rumahnya.
Abang sulung Tyler, Ryan Hadley pada masa kejadian berada di kolej nyata kecewa dan sedih dengan kematian tragis ibu bapa mereka.
Pada mulanya Tyler menyalahkan ubat-ubatan yang diambilnya. Dia mendakwa kesan ubat tersebut meletakkan dirinya dalam keadaan delusi.
Pada waktu lain pula, Tyler mendakwa membunuh kedua-dua ibu bapanya kerana mereka tak akan pernah mengizinkannya mengadakan parti di rumah. Semasa cerita ini ditulis, kes ini masih dalam perbicaraan dan Tyler sedang menanti hukuman untuk jenayah yang dilakukannya.