RAMADAN datang lagi. Bulan untuk berpuasa. Keredaan dan kerahmatan Ilahi melimpah-ruah. Kepada yang tebal imannya, mereka akan menyambut ketibaan Ramadan dengan memperbanyakkan amal, memohon keampunan dan bertaubat. Tapi itu orang yang beriman!

Kalau yang menggeletik macam ulat beluncas?

Inilah yang Mastika hendak ceritakan bulan ini. Bukan cerita tentang niat puasa, moreh, sahur atau solat tarawih, tapi mengenai perangai tidak senonoh segelintir umat Islam sepanjang bulan mulia ini.

Kisah yang Mastika nak sampaikan kali ini lebih rare. Cerita tentang ‘abang-abang senior’ dan ‘atuk-atuk’ kita yang ligat masuk ke pintu sempadan Malaysia-Thailand semasa bulan puasa. Atau lebih tepat lagi, cari ‘ayam Siam’ di Danok, Thailand.

Ayam? Ya… ayam! Alah, ayam hidup yang berkaki dua dan berambut ikal itu la. Kah! Kah! Kah!

Begini, ketika membuat tugasan di utara tanah air tempoh hari, Mastika telah bertemu dengan seorang lelaki bernama Fazli. Orangnya berbadan gempal, punyai janggut sejemput. Dia merupakan bekas pemandu kereta api antara bandar.

Cerita Fazli, sebagai pemandu kereta api, kerap juga dia ditugaskan membawa kereta api sehingga ke Hatyai, Thailand. Dalam sebulan, boleh dikatakan lima, enam kali juga dia melepasi sempadan negara kerana tugasan.

Inilah yang Fazli nak ceritakan pada Mastika. Cerita tentang ‘syurga dunia’ di Danok. Tak mengapa, kami akan dengar dahulu. Kalau menarik, bolehlah disiarkan dalam Mastika. Silakan Fazli…

 

SEBELUM membuka mulut, lelaki di hadapan kami itu menoleh ke kiri dan kanan. Kemudian dia bersuara dengan nada perlahan.

“Selama ni saya hanya dengaq dari mulut oghang saja. Tapi bila dah sampai sana, tengok dengan mata kepala sendiri, fuh…!” kata-katanya terputus di situ. Sambil menggeleng-gelengkan kepala, dia mengetap bibir.

“Macam-macam ada. Yang kerja gomen, swasta, semua ada. Golongan cikgu pun ramai. VIP pun ada yang mai cari ‘ayam’ kat sini,” kata Fazli, merujuk kepada lelaki Malaysia yang pergi ke Danok.

Kata Fazli, setiap hujung minggu, pekan Danok akan menjadi sibuk kerana dibanjiri oleh lelaki-lelaki Malaysia. Berpusu-pusu kereta bernombor plat Malaysia masuk sempadan. Kebanyakannya adalah orang Melayu. Ada juga bangsa lain tapi tak seramai lelaki Melayu.

“Kalau datang sini nak buat apa lagi? Bayaq ‘bil air’ lah…” jelas lelaki itu dengan senyuman sinis. Er… anda faham kan maksud bayar ‘bil air’ tu apa?

Katanya, perniagaan pelacuran di Danok tak pernah melalui zaman gawat, bahkan sentiasa berkembang. Walaupun nilai ringgit jatuh, tetapi setiap hujung minggu pekan Danok tetap penuh dengan lelaki-lelaki Malaysia.

Fazli terus membuka cerita. Katanya, kebanyakan lelaki Malaysia yang datang sini adalah golongan yang sudah berusia. Yang kategori rumah kata pergi, kubur kata mari.

“Ramai jantan-jantan Melayu masuk ke Danok secara haram. Maksudnya, tanpa cop pasport. Biasalah, ada ‘kaki’ yang jaga sempadan. Itu kebiasaan bagi mereka yang masuk ke sana hanya untuk melanggan pelacur. Jadi, isteri di rumah tak tahulah kegiatan suami masing-masing ketika mereka ‘out station’.

“Bukannya muda lagi. Sudah tua bangka pun. Umuq 60 tahun ke atas. Dah ada cucu! Rambut dah putih. Tapi masih tak sedaq diri. Seronok sangat datang ke Danok. Semua dah ada bini. Tapi tak puas ‘makan’ kat rumah…” cerita Fazli. Mulutnya menjuih ke depan.

“Kalau bulan puasa lagi happening…” kata-kata itu terpacul dari mulut lelaki berkulit sawo matang itu.

Ha? Bulan puasa?? Kami telan air liur. Gulp! Sesak dada Mastika mendengarnya.

Fazli mengangguk. Katanya, bulan Ramadan adalah waktu paling sibuk di Danok.

“Ya, memang begitu. Waktu bulan Ramadan, ramai lelaki Malaysia asyik berulang-alik ke sini. Mungkin di Malaysia mereka malu nak buat maksiat. Maklumlah, bulan puasa.

“Jadi, mereka celahlah ke Danok. Tak ada siapa nak kacau. Tapi dia orang lupa agaknya, Tuhan tu bukan ada kat Malaysia saja,” jelas lelaki itu.

Pernah sekali tu, sewaktu bertugas ke Danok pada bulan Ramadan, Fazli pergi meninjau ke beberapa buah rumah pelacuran di sana. Dia cuba tanya bapa ayam yang jaga kawasan situ. Saja-saja tanya. Nak tahu apa bapa ayam itu cakap? “Sorry, amoi sold out! Hah, Mastika bayangkanlah…” kata Fazli.

Kami yanh mendengar cuma tergamam. Tak sangka dalam bulan Ramadan ramai lelaki Melayu datang ke sini. Tunggu, cerita Fazli belum habis lagi.

 

Musang berjanggut

Sambung Fazli, dia bukan cakap kosong. Dia mahu dedahkan semua ini sebab tak mahu orang kita terus hanyut dengan maksiat.

“Saya sendiri ada kawan-kawan yang buat kerja tak senonoh ni,” kata Fazli.

Mula-mula dulu, Fazli biarkan saja. Butakan mata, pekakkan telinga. Fikirnya, mungkin sekejap saja. Esok-esok insaflah tu. Rupa-rupanya telahan Fazli silap.

Makin tua, makin ligat pula Fazli lihat perangai rakan-rakannya. Naik berbulu mata dibuatnya. Tambah sedih, semua rakannya itu Melayu.

Pernah juga Fazli cuba nasihatkan. Tapi tak jalan. Lantaklah, dia malas hendak cakap lebih-lebih. Nanti dikata kurang ajar dengan orang tua pula. Maklumlah, yang buat perangai tak senonoh tu pun sudah bertaraf ‘atuk’.

“Ada juga yang pakai kopiah, serban atau jubah yang konon dipanggil ustaz pun pergi Danok. Bukan boleh percaya sangat pun. Saya sendiri dah jumpa dan tengok dengan mata kepala sendiri,” ujar Fazli pada Mastika.

Pernah sekali dia terserempak dengan seorang rakannya di sana. Kalau di kampung, rakannya itu dikategorikan sebagai ustaz. Tapi…

“Saya gosok mata. Kemudian buka mata luas-luas. Sah, memang dia! Tak sangka pula saya. Depan orang lain, bukan main alim. Tapi kat belakang, dialah syaitan paling licik. Solat tak tinggal lima waktu. Tapi bab nafsu, tolak tepi halal haram. Poodah!” kata Fazli.

Hm… Mastika hanya terdiam. Alah… Fazli ni macam tak faham-faham pula. Pak Lebai pun kalau nampak perempuan seksi, serban boleh terbang. Kah! Kah! Kah!

 

Perempuan simpanan

Lelaki itu kemudian membuka kisah lagi. “Kalau ada duit banyak, buat rumah sewa kat Danok, laku sangat,” kata Fazli.

Rumah sewa? Nak sewakan pada siapa? Mastika bertanya lanjut.

“Sewa kat orang Malaysia la, siapa lagi!” dengus lelaki berkaca mata itu.

Mastika masih samar-samar dengan jawapan Fazli. Kening kami berkerut. Oh, kalau macam tu kenapa tak sewa hotel saja?

Fazli tidak terus menjawab. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Kemudian, dia perkemaskan duduknya, dan…

“Sebenarnya macam ni. Orang Malaysia ramai sewa rumah kat Danok. Depa sewa berbulan, dan ada yang bertahun. Cuba kira kalau sebulan sewa RM500, setahun berapa? Kalau setakat rumah pangsa dua bilik, berebut orang Malaysia nak sewa,” jelas Fazli.

Fazli merapatkan wajahnya pada kami. Sekali lagi dia menoleh ke sekeliling. Kali ini, nada percakapannya lebih perlahan.

“Depa simpan perempuan Siam kat Danok!” ujar Fazli sambil tangan kanan menutup separuh penjuru mulutnya. Matanya terjegil, merenung tajam ke arah Mastika.

“Depa takut bini tahu. Jadi, hujung minggu depa masuk la semalam dua, lepas tu balik la. Kalau tak percaya, pergi tengok sendiri rumah-rumah pangsa kat sana, penuh dengan kereta Malaysia,” sambungnya lagi.

“Memang ramai. Sama ada kahwin ke tak, saya tak tau,” ujar Fazli sambil kepalanya menggeleng.

“Perempuan Siam yang ada kat Danok tu kebanyakannya datang dari Chiang Mai, Chiang Rai dan kawasan-kawasan lain di utara Thailand. Depa tu bukan fikir apa, tapi hanya nak duit saja. Jalan paling senang jual bodylah!” kata Fazli mengukuhkan hujahnya.

Tambahnya lagi, lelaki-lelaki Malaysia yang nak simpan perempuan Siam kena habis beribu juga. Rumah perlu serba lengkap. Peti ais, katil, mesin basuh, televisyen mesti kena ada. Kalau tak, jangan harap mereka hendak layan.

“Lelaki Melayu yang bela perempuan Siam kena ikut apa depa nak. Kalau depa minta duit tak dapat, depa buat perangai. Ada juga lelaki yang putih mata sebab bila duit dah tak mampu nak bagi, perempuan tu angkut barang dan pindah tempat lain. Tinggal rumah kosong. Naya!” jelas Fazli dengan panjang lebar.

Oo… macam tu. Er… apa yang menariknya pada perempuan Danok ni sampai orang Malaysia sanggup berhabis duit? Kami mengacah soalan nakal.

Soalan ini ternyata mengena. Fazli mengangkat muka dan memandang tepat ke arah kami. Dia menoleh lagi ke kiri dan ke kanan untuk memastikan line clear.

“Mana boleh tahan dengan perempuan Siam muda-muda. Itu yang sanggup habis duit. Sanggup datang dari jauh.

“Ada sekali tu, saya jumpa seorang Cina tua dari Johor yang datang sini. Saya tak tanya apa pun, tapi dia yang sibuk bercerita. Lelaki tu kata, sejak kahwin dia tak pernah rasa layanan sehebat perempuan Siam. Kalau nak dibandingkan dengan bininya, beza langit dengan bumi.

“Aiyooo… tarak boleh lupa maa… balik seminggu mahu datang lagi sini maa,” kata Fazli sambil meniru loghat apek yang ditemui itu.

Sekali lagi kami tergamam. Fuh… dahsyat sungguh penangan amoi Danok. Patutlah selama ini lelaki Melayu selalu ‘menyeberang’ ke sana. Kah! Kah! Kah!