JAM tiga petang, Selasa, Wartawan Eksekutif Mastika, Aliaa Aaina Izyan Hasan bertemu dua orang lelaki. Seorang yang bertubuh agak sasa itu dipanggil Nuqman. Seorang lagi, Zaim. Kedua-duanya berusia lingkungan awal 30-an.

Zaim merupakan individu yang bertanggungjawab mempertemukan kami dengan Nuqman.

Kenapa kami nak jumpa Nuqman?

Begini, ada perkara yang kami hendak dengar daripada mulutnya. Biar kami berterus terang saja.

Kami pilih Nuqman apabila difahamkan, yang Nuqman cukup geram dan bengang dengan budak-budak Vapor, atau pengguna rokok elektronik, walaupun dia merupakan seorang perokok tegar.

Sudah banyak kali Nuqman berperang mulut dengan budak-budak Vapor ni. Cuma belum bertumbuk sahaja.

Kenapa jadi begitu? Apa yang Nuqman menyampah sangat? Apa sebab musababnya?

“Budak-budak Vape ni dah kurang ajar!” jawab Nuqman sebaik kami bertanya hal tersebut dalam satu pertemuan di sebuah kedai makan.

Menurut Nuqman, pada asalnya dia langsung tiada masalah dengan pengguna Vapor atau rokok elektronik ini. Namun, kelakuan mereka dari sehari ke sehari semakin menjengkelkan sehingga ada yang bersikap biadab! Berbulu mata, Nuqman dibuatnya.

Kalau ikutkan rasa marah, hendak sahaja dia tampar mulut pengguna Vapor seorang demi seorang. Kata Nuqman lagi, melalui pemerhatiannya, kaki-kaki ‘Vape’ langsung tak pandai menghormati orang sekeliling.

“Aku pun merokok, tapi tak la sebiadab budak-budak ni. Naik menyampah tengok perangai budak-budak ni!” jelas Nuqman. Suara sedikit menyinga.

Biadab? Kenapa sampai macam tu sekali Nuqman?

“Diorang ni dah tak tahu adab lagi. Hisap sesuka hati kat merata tempat. Dalam aircond, shopping mall, bas. Lepas tu ada juga yang hembus-hembus kat muka orang. Agak-agaklah sikit,” bentak Nuqman menunjukkan rasa amarahnya.

Lalu Nuqman bercerita pengalaman yang sangat menjengkelkan baginya sehingga berlaku perang mulut dengan golongan ini.

Hari itu, Nuqman berkunjung di sebuah kedai untuk mengisi perut. Tidak lama kemudian, datang empat orang pemuda melepak, selang dua buah meja darinya.

Selepas memesan makanan, Nuqman tengok pemuda-pemuda tadi mula menghisap Vapor sambil bertukar-tukar antara satu sama lain.

“Berkepul-kepul asap keluar dari mulut budak-budak tu. Langsung tak hiraukan orang sekeliling. Satu family, yang duduk meja sebelah terus bangun cari tempat lain. Padahal family ni datang dulu. Dia tak tahan asap Vapor tu. Berbulu mata aku tengok perangai budak-budak ni! Tak hormat orang langsung! Aku bangun terus makilah!” bentak Nuqman. Hidungnya kembang kempis menahan marah.

Nuqman cerita pula satu kejadian pada Hari Raya baru-baru ini. Ketika itu dia menghadiri majlis rumah terbuka seorang sahabatnya. Kejadian yang dilihatnya itu pun membuatkan dia terasa bengang.

“Ada dua orang sedara member aku ni, umur aku rasa dalam 30-an, selamba badak hisap Vapor dalam rumah. Fuhhh sana, fuhhh sini. Padahal masa tu penuh sesak dengan orang ramai. Baby ada, budak-budak pun. Geram aku tengok. Kalau sedara aku dah lama kena cepuk.

“Tu aku cakap budak-budak ni ingat hisap vape dah cukup bagus? Boleh buat sesuka hati? Ingat semua orang suka ke?” lanjut Nuqman lagi.

Mastika cuba mencelah. Setahu kami asap Vapor wangi. Ada yang berbau Honeydew Melon, Mixberry, Orange Candy, Strawberry. Ha, bau cendol pun ada. Bukan busuk macam asap rokok.

Nuqman menggeleng kepala. Dia tak bersetuju dengan kenyataan kami tadi.

“Aku tak nafi asap Vapor ni wangi. Tapi asap benda ni tebal dan banyak.  Berpuluh kali ganda banyak daripada asap rokok. Bayangkan bila budak-budak ni hisap secara berjemaah.

“Dalam tempat aircond, restoran atau rumah ada orang ramai. Lepas tu, bercampur macam-macam flavour. Heiii, daripada wangi pun boleh jadi bau tahi,” jelas Nuqman serius. Wajahnya nampak beremosi sikit. Kepalanya tergeleng-geleng. Dia terus mengomel-ngomel. Sumpah seranah keluar mencurah-curah dari mulutnya.

Lepas Nuqman habis membebel, kami bagi pula pandangan. Setahu kami asap Vapor tidak berbahaya seperti asap rokok. Vapor pun untuk membantu mereka mengurangkan ketagihan merokok seterusnya berhenti? Ini yang kami baca di Internetlah.

“Bahaya ke tak kami tak mahu ambil tahu. Yang kami tak puas hati, perangai budak-budak ni. Dia kena ingat, bukan semua orang selesa dengan bau tu. Perfume yang wangi tu pun orang pilih bau nak pakai. Ni pulak benda macam ni. Cubalah fikir kalau orang sebelah tu memang tak merokok. Baby? Macam mana?” bentak Zaim pula yang sedari tadi hanya berdiam diri.

Zaim melanjutkan pula hujahnya. “Kami ni, walaupun merokok, masih tahu adab. Tak adalah nak hisap dalam shopping mall, pejabat, restoran yang ada aircond tu. Kami keluar dari tempat tu,” jelas Zaim.

Bila kami tak terkata apa-apa, Zaim terus peleceh kaki Vapor ni. Baginya, alasan hisap Vapor untuk berhenti merokok langsung tak boleh diterima. Ibaratnya, cakap tak serupa bikin.

“Semak betul aku, ayat standard ‘vape untuk orang berhenti merokok’. Puihhh! Tu semua alasan bodoh!” kata Zaim sambal tersenyum sinis. Mungkin dia terkenang kepada golongan yang pernah mengeluarkan ayat tersebut.

Nuqman mengangguk-anggukkan kepalanya. Dia bersetuju benar dengan kenyataan rakannya tadi.

“Ramai yang aku tengok, bila bateri Vapor habis, dia pow juga rokok kat member merokok. Berhenti apa macam tu? Tu semua alasan poyo!” jelas Nuqman sambil tergelak besar.

Nuqman kemudiannya menyeluk poket baju dan mengeluarkan sekotak rokok.

“Erkkk, boleh ke nak merokok?” tanya Nuqman pada kami meminta izin. Mastika mengangguk saja.

“Tengok, kami ni nak merokok pun minta izin dulu,” Zaim mencelah pula. Perghh, puji diri sendiri.

Selepas menyedut sekali dua rokok tadi, Nuqman meluahkan lagi isi hatinya. Melalui pemerhatiannya, kewujudan Vapor  membawa banyak keburukan daripada kebaikan.

Manakan tidak, ada antara rakannya yang langsung tidak pernah sentuh rokok sebelum ini, tiba-tiba membeli Vapor hanya kerana terpengaruh dengan trend masa kini.

Ada juga yang terpengaruh sebab sering dimomokkan yang Vapor tidak mengandungi tar, nikotin, asapnya tidak berbahaya selain seseorang itu tak akan ketagih.

Paling merisaukan mereka berdua apabila golongan pelajar sekolah dan anak dara turut terjebak dalam kancah tidak sihat ini.

“Budak sekolah pun selamba je hisap. Alasan bukan rokok. Yang paling aku berbulu mata tengok, bila anak-anak dara pun mula naik sama. Kalau yang freehair boleh tahan lagi. Ni yang bertudung litup sambil berjalan sambil vape pun ada.

“Dah macam perempuan jalang dah gayanya! Hilang langsung kesantunan gadis Melayu! Yang tak merokok pun dah mula. Lama-lama mesti ketagih punya,” ujar Nuqman tergeleng-geleng lalu menambah, “Kalau betul nak berhenti merokok, berhenti sajalah. Tak payah nak hisap Vapor bagai. Yang penting hati tu. Sudah tu buat orang menyampah pula.”

Hmmm. Tak apalah kalau begitu. Jika dilanjutkan pun sembang ni, kami yakin dua orang lelaki depan kami ini tetap bengang dengan kaki Vapor.

Kami hanya mampu dengar sahaja pendapat mereka ini. Menyokong tidak, membantah pun tidak. Setelah lebih satu jam kami berbual, kami minta diri untuk pulang.

Opsss! Tapi sebelum kami melangkah pulang, Zaim ada berkata begini.

“Diorang ni nak hisap rokok elektronik, vape, Vapor, atau apa saja aku tak kisah. Itu duit diorang. Yang penting tolong hormat orang sikit. Jangan jadi biadab!” pesan Zaim.

Baiklah Zaim, kami akan tulis pesanan ikhlas Zaim itu. Sedang menuju ke kereta, kami hidu bau selendang yang dipakai. Fuhh! Hilang sudah bau perfume mahal kami dan diganti pula dengan bau asap rokok yang sedikit kelat.

Entah rokok jenama apa yang disedut Zaim dan Nuqman tadi, kami tidak tahu. Tak pernah pula kami dengar jenamanya. Emmm, rokok seludup barangkali.

Tapi sebenarnya, bukan Zaim dan Nuqman saja yang kecewa dengan kaki Vapor ini. Seminggu sebelum pertemuan ini, meja Mastika juga dihubungi seorang pembaca.

Tak silap kami, Uda namanya. Pun sama, pemanggil ini meluahkan ketidakpuasan hatinya kepada kaki-kaki Vapor.

Selain itu, kami juga teringat kejadian seorang sahabat menaikkan status facebook mengecam kaki Vapor. Marah sungguh rakan kami ini.

“Orang hisap vape tak ada adab, biadab. Suka hati hisap vape dalam LRT. Dah la penuh sesak. Memang C**ak*!” kata rakan kami ini apabila kami menghubungi bertanyakan hal tersebut.