SEMASA cuti menunggu keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pada tahun 1986, saya telah diajak oleh Shah, salah seorang teman ulang kaji di perpustakaan Klang untuk menjaga kebun durian ayahnya di daerah Banting, Selangor.

Dengar sahaja perkataan ‘DURIAN’, serta merta saya mengangguk setuju. Siapa yang tidak mahu menikmati ulas-ulas lemak manis dan sedikit pahit raja buah-buahan ini? Rugi kalau tidak ikut!

Setelah mengisi beg dengan pakaian untuk dua hari satu malam, saya bergerak ke hentian bas Banting dan terserempak dengan dua lagi rakan, Rosdi dan Udin, yang juga dijemput oleh Shah untuk menemaninya menjaga kebun pada hujung minggu itu.

Memandangkan kami tiba awal hari itu, Shah membawa kami bertiga berjalan-jalan mengelilingi kawasan kebun kelapa dan sawahnya.

Semasa Shah membawa kami bertiga bertemu dengan kaum keluarganya di pangkin tepi sawah, sekali imbas saya terlihat bayangan seekor harimau tidak jauh dari pangkin itu.

“Hmmm … rupanya ada orang Bugis jadi kawan kau ya Shah?” tanya salah seorang daripada orang tua yang sedang duduk di pangkin itu. Di bibirnya tidak lekang daripada rokok daun. Dia tersenyum ke arah saya. Pak Atan, itulah nama lelaki tua itu.

Inilah kali pertama saya berjumpa dengan seseorang yang dapat meneka asal keturunan saya dengan tepat. Setelah bersalaman dan berkenalan, Pak Atan terus menjemput kami duduk di pangkin. Saya dapat merasakan Pak Atan asyik merenung saya.

“Dia penjaga…,” tiba-tiba Pak Atan bersuara sambil mengangguk. Shah terus memandang muka saya dan bapa saudaranya. Namun pandangan itu mati apabila Pak Atan menjemput kami menikmati durian yang sudah dikopek. Rezeki jangan ditolak.

Selepas solat Zuhur dan makan tengah hari, ayah Shah yang kami panggil Wak Li, membawa kami ke sebuah pondok di kebun duriannya. Pondok ini agak luas. Ada tujuh buah tilam, dua buah tandas serta dua buah bilik air di dalamnya. Sekali imbas, macam lot rumah panjang.

Petang itu, kami berempat mengambil keputusan untuk melihat-lihat kawasan dan mengambil angin petang sebelum menjelang senja. Sekali lagi, saya terlihat lintasan seakan-akan seekor harimau sedang mengelilingi kami berempat. Langkah saya terhenti.

Deraman pak belang itu terdengar di cuping telinga. Seolah-olah ia berada di sebelah. Saya memandang ke arah rakan-rakan saya yang lain. Mereka berjalan seolah-olah mereka tidak mendengar atau melihat apa-apa. Memandangkan rakan-rakan lain tidak mengendahkan kehadiran pak belang, segera saya mengandaikan cuma saya sahaja yang mampu melihat jelmaan haiwan itu.

Ketika hari menghampiri waktu Maghrib, sekali lagi saya mendengar suara pak belang menderam, mengekori kami rapat dari belakang. Saya berpaling namun tiada apa yang kelihatan.

SELEPAS Isyak, kami dihidangkan dengan pulut kukus dan durian segar bersama kopi O pekat. Sambil menikmati hidangan, Shah mula membuka cerita mistik kebun keluarganya.

Menurut Shah, ada kalanya mereka yang menginap di pondok itu diganggu dengan bunyi-bunyi yang pelik dan menyeramkan. Pernah beberapa kali ketika berjaga, pintu pondok diketuk berulang kali. Apabila dibuka, tiada apa yang kelihatan.

Shah menyuruh kami tidur terlebih dahulu. “Dalam pukul 2.00 pagi kita keluar. Selalunya dalam pukul 1.00 pagi, durian banyak luruh. Tidur dulu, nanti aku gerak bila nak kutip buah,” terang Shah.

Kami mengangguk dan merebahkan diri ke tilam. Pelita ayam dinyalakan untuk memberikan sedikit cahaya.

Lebih kurang tengah malam, saya terjaga kerana kesejukan. Saya bangun dan bergegas ke bilik air. Ketika itu saya lihat Shah sedang mencangkung di atas tilamnya sambil memandang ke arah pintu depan. Saya menegur tetapi tidak diendahkan. Saya mengerling jam di tangan. Hampir pukul 12.30 tengah malam.

Tanpa mempedulikan Shah, saya ke bilik air. Semasa melepaskan hajat, terdengar bagai ada cakaran di pintu bilik air. Krish … krish … krish … pada mulanya perlahan, tetapi semakin lama semakin kuat. Takkan Shah cuba menakut-nakutkan saya? Saya ambil segayung air lalu menyimbah ke arah pintu tanda protes.

Setelah menyucikan diri, saya membuka pintu bilik air. Apa yang terlihat di depan mata memang mengejutkan. Sehelai kain putih yang amat hapak, tiba-tiba terbentang memanjang, melintangi pintu bilik air. Bagaikan ada kuasa sendiri, kain tadi tiba-tiba tertarik ke atas dan hilang begitu saja.

Dada saya mula berdebar. Bulu roma meremang. Dalam kesunyian malam, telinga saya menangkap satu lagi bunyi seperti ada sesuatu sedang berjalan di keliling rumah. Terdengar bunyi menderam perlahan diikuti nafas yang kuat. Apakah itu bunyi harimau yang saya lihat petang tadi?

Jantung saya berdegup kencang. Saya bergegas ke arah hadapan dan melihat rakan-rakan masih lagi tidur nyenyak termasuk Shah, yang mengerekot kesejukan.

Belum sempat saya kejutkan mereka, tiba-tiba … TIT TIT TITTTTTTTT … jam loceng yang dikunci Shah berbunyi, mengejutkan semua yang sedang tidur. Sepantas kilat Shah bangun dan meluru ke bilik air mencuci mukanya.

“Ahhh… barulah segar nak cari buah,” ujar Shah. Daripada kata-katanya bermakna Shah baru terjaga daripada tidur. Saya menyanggah kata-katanya sambil mengatakan saya melihat dia telah lama terjaga tetapi mencangkung di atas tilam. Shah menafikan. Kata Shah, dia turut sama tidur bersama-sama kami sebaik pelita dinyalakan.

Saya menggaru kepala. Habis, siapa pula yang mencangkung tadi?

DENGAN bersenjatakan sebilah parang dan lampu picit, kami berempat memulakan tugasan meronda di sekitar kebun durian. Sehelai guni diseret di atas tanah. Tujuannya untuk ‘menangkap’ durian yang gugur seandainya kami terlepas pandang.

Setelah berjalan hampir 20 minit, saya terlihat sehelai kain putih, bagaikan berdiri memanjang di perdu sebatang pohon durian. Saya menyuluh ke arah kain putih tadi. Bagaikan panah yang dilepaskan daripada busur, sepantas kilat kain itu ‘melonjak’ ke udara.

Sejurus selepas itu, terdengar suara hilaian yang nyaring dan menyeramkan dari arah itu. Saya menyuluh lagi. Kali ini pandangan saya tidak silap. Sesosok lembaga berpakaian serba putih dengan rambut menggerbang, sedang mencangkung di atas dahan pohon durian itu.

Tiba-tiba saya terasa tangan saya direntap. Rupa-rupanya Shah yang menarik tangan saya dan mengarahkan saya menyuluh ke bawah.

“Kenapa kau ni? Bapa aku tegah suluh lampu picit ke arah dahan pokok. Bahaya katanya,” jelas Shah. Bila ditanya apa yang bahaya, Shah cuma mengangkat bahu. Dia pun tidak tahu mengapa ayahnya menyuruh berbuat demikian.

Kami meneruskan perjalanan walaupun hati saya mulai risau. Sepanjang masa bulu roma saya berdiri tegak. Saya perhatikan Rosdi dan Udin. Riak wajah mereka tampak gembira. Mungkin kerana ini pengalaman pertama mereka.

Tiba-tiba saya mendengar bunyi seolah-olah sayap burung yang begitu besar sedang mengepak. Semakin lama semakin mendekati kami. Saya menoleh ke belakang. Kelihatan sosok lembaga berjubah putih sedang berdiri di atas sebatang dahan pokok durian. Ia sedang memerhatikan kami. Tiba-tiba ia melonjak ke udara dan terus ‘melekap’ pada sebatang pokok durian yang berhampiran dengan kami. Hilaiannya semakin kuat.

Tiba-tiba Rosdi mematikan langkahnya. Dia terus memegang pergelangan tangan saya.

“Kau orang dengar bunyi tu tak?” tanyanya. Kami menggelengkan kepala.

“Kau tengah mimpi kot,” kata Adi bergurau. Rosdi menggelengkan kepalanya. Dia memberikan isyarat tangan. Daripada isyaratnya itu, kami faham yang dia terdengar bunyi pak belang.

Saya terdengar lagi hilaian yang menyeramkan itu. Kali ini dari atas pokok durian yang bertentangan dengan kami. Tiba-tiba terbit bau seakan bangkai menusuk ke hidung.

“Aku rasa ada sesuatu yang tak baik tengah perhatikan kita sekarang. Baik kita balik ke pondok,” kata Shah.

Adi dan Rosdi memandang muka Shah yang serius. Saya menyokong cadangan Shah kerana betul-betul di hadapan kami sekarang adalah sosok lembaga berjubah putih, berdiri memerhatikan kami.

Saya membaca beberapa surah yang diingati tetapi seperti biasa, dalam keadaan kelam kabut, surah yang dihafal menjadi lintang pukang bacaannya. Saya lihat Shah mula mengambil langkah dan mengundur. Apakah dia juga nampak apa yang saya nampak?

Shah segera berpaling dan berjalan sepantas mungkin. Entah dari mana, tiba-tiba terdengar ngauman Pak Belang yang begitu kuat. Seolah-olah ia berada beberapa meter di hadapan kami. Langkah kami terhenti.

Shah bertanya sama ada kami mendengar bunyi haiwan buas itu. Ketiga-tiga kami mengangguk. Tanpa berlengah lagi Shah memecut buka langkah seribu. Melihat keadaan itu, kami bertiga yang kebingungan pun ikut sama memecut. Kalau ada perlumbaan 100 meter di sekolah, jelas kami berempat akan menduduki tempat keempat terpantas!

Masuk ke dalam pondok, Shah segera mengunci semua pintu. PANGGGGG!!! Tiba-tiba terdengar hentakan di pintu depan. Segera Shah menghidupkan lampu luar. Hentakan itu mati sendiri. Kemudian kami mendengar bunyi cakaran di pintu dan dinding pondok.

Bunyi tapak kaki haiwan juga kedengaran mengelilingi rumah. Semakin lama semakin laju. Sesekali terdengar bunyi ngauman.

Tiba-tiba saya melihat Adi berdiri dan terus melaungkan seruan azan. Tanpa berlengah, kami berdiri di setiap penjuru pondok dan mengalunkan azan. Sebaik sahaja azan berhenti, kedengaran sayup-sayup hilaian yang mengerikan tadi bertukar menjadi suara tangisan sayu. Ia berselang seli dengan suara pak belang di kejauhan. Kami berpandangan sesama sendiri.

Kesudahannya, kami tidak tidur sehinggalah azan Subuh berkumandang. Setelah solat berjemaah, kami mengangkut barang dan bergerak pulang ke rumah Shah yang jaraknya hampir tiga kilometer dari kebun itu.

Sepanjang perjalanan, kami membincangkan tentang bunyi haiwan ganas yang kedengaran. Hairan juga saya apabila bunyi hilaian dan sosok lembaga putih itu tidak disentuh. Nampaknya, hanya saya seorang yang perasan dengan kewujudan lembaga itu.

SAMPAI di rumah Shah, kami melihat beberapa ekor ayam kampung bergelimpangan – mati. Pak Atan pula sibuk menggali lubang untuk menanam bangkai-bangkai ayam itu.

Semasa bersarapan, kami menceritakan apa yang kami alami awal pagi tadi. Pak Atan dan Wak Li berpandangan sesama sendiri. Menurut Wak Li, bunyi yang kami dengar awal pagi itu merupakan bunyi ‘penjaga’ kebun kepunyaan keluarga Wak Li. Namun penjaga itu tidak diwariskan kepada Wak Li. ‘Penjaga’ itu adalah tanggungjawab Pak Atan.

Pak Atan menegur saya tentang kelakuan saya pagi semalam. Dia tahu saya terlihat kelibat harimau semasa berada di pangkin tepi sawah. Dan malam tadi, ‘penjaga’ itu muncul kerana kami berempat dalam bahaya.

“Entah langsuir atau puntianak yang kamu nampak tu,” kata Pak Atan.

Menurut Pak Atan, terdapat banyak penampakan yang tidak bertuan, sering mengganggu dan menakutkan mereka yang tidur di pondok kebun itu. Mungkin merasakan salah satu kaum keluarganya dalam bahaya, sang penjaga memunculkan diri dan mengawal pondok. Mungkin kah itu bunyi tapak kaki haiwan yang kami dengari?

Kerana tidak dapat mengganggu kami, puntianak atau langsuir tersebut menyerang pula ayam-ayam kampung yang diternak oleh Wak Li. Menurut Wak Li, lembaga tersebut mempunyai tuan dan sering dilepaskan untuk menakutkan mereka yang hendak mengutip durian. Tujuannya agar tiada siapa yang berani untuk tinggal di pondok itu dan memudahkan tuan punya lembaga mengutip hasil dari kebun orang lain.

Pagi itu setelah sarapan, kami ‘mengqada’ kembali tidur kami yang terbantut sehingga pukul 12.00 tengah hari.

Petang itu, sekali lagi kami pergi ke pondok dan meninjau-ninjau sama ada durian yang gugur telah dikebas atau masih tidak terusik. Nyata rezeki menyebelahi kami. Masih ada lagi durian yang berguguran awal pagi tadi.

Selepas solat Asar, kami bertiga dihantar pulang oleh Shah ke rumah masing-masing. Sepanjang perjalanan di dalam van, Wak Li dan Pak Atan menasihati saya agar menggunakan deria saya untuk kebaikan orang ramai.

Kini selepas hampir 30 tahun, saya mendapat berita yang Pak Atan telah meninggal akibat sakit tua. Menurut kata Shah, beberapa tahun selepas kejadian yang kami alami itu, Pak Atan telah melepaskan ‘peliharaannya’ di sebuah hutan di selatan tanah air.

Sesekali apabila terserempak dengan Shah di masjid, ingatan saya terus terhimbau tentang kejadian malam itu dan keenakan durian kampung hasil kebunnya. Memang TERBAIK!