Seperti diceritakan oleh, Purwanto, 51, kepada wartawan eksekutif Mastika. Kejadian berlaku sekitar hujung tahun 90-an di Kampung Sumber Agung, Jawa Timur di Indonesia.

Allah s.w.t. berfirman: “Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui.” Al-Baqarah: 188

PAGI itu, ketika berkunjung ke kedai kopi, saya terdengar orang kampung berborak tentang kematian salah seorang penduduk kampung kami. Cukuplah saya perkenalkannya sebagai Harjo.

Harjo meninggal ketika usianya lingkungan 60 tahun selepas terlantar sakit akibat strok hampir dua tahun.

Namun, berita kematian Harjo langsung tidak menyedihkan penduduk kampung. Sebaliknya saya lihat, ramai orang suka Harjo sudah mati. Kenapa jadi begitu? Nanti saya akan ceritakan.

Dua jam selepas mendapat berita itu, saya pergi ke tanah perkuburan. Niat hati mahu membantu penduduk kampung menggali kubur arwah.

Untuk pengetahuan pembaca, biasanya bila ada kematian di kampung kami, penduduk kampung akan bergotong-royong menggali kubur. Sesiapa ada kelapangan, bila-bila masa boleh turun membantu.

Sampai di tanah perkuburan, saya lihat sudah ramai orang yang datang. Tapi sesuatu yang pelik apabila keadaan di situ sedikit kecoh. Sebuah liang lahad sudah digali, tetapi hanya separas paha saja. Saya terus bertanya kepada seorang rakan. Apa yang berlaku?

“Ada batu besar dalam lubang kubur ni. Nak keluarkan tak boleh,” itu jawapan yang saya terima.

Saya diberitahu lagi, mulanya mereka cuba pecahkan batu tersebut. Tapi hampir sejam mencuba, usaha itu sia-sia. Retak pun tidak. Batu itu terlalu keras bagaikan besi.

“Kita gali kubur lain,” terdengar cadangan salah seorang penggali.

Cadangan itu di persetujui semua. Tanpa berlengah, kami terus mencari lokasi sesuai dan jauh sedikit dari kubur pertama. Kalau digali bersebelahan kubur tadi, takut masalah sama berulang.

Selepas dapat tapak sesuai, kerja menggali dimulakan. Sejam lebih mengorek, kedalaman lubang kubur hampir separas paha.

Saya yang sudah mula penat berhenti berehat dan duduk di tepi gigi lubang kubur. Bahagian saya diganti oleh rakan lain. Sedang melepaskan lelah, tiba-tiba kami dikejutkan dengan bunyi sesuatu.

TINGG!

Bunyi itu terhasil apabila mata cangkul berlaga dengan objek keras. Bila digali lagi, rupa-rupanya ada sebongkah batu tertanam dalam lubang itu.

“Ada batu lagi. Besar macam tadi. Tak boleh alihkan ni,” kata salah seorang penggali.

Melihat keadaan itu, kami semua terduduk dan mengeluh. Masing-masing kepenatan. Sudah dua buah lubang kubur kami gali, tapi masih menghadapi masalah sama. Nampaknya kerja tadi sia-sia saja.

Lepas berehat hampir 15 minit, sekali lagi kami bergegas mencari tapak baru. Kami perlu sediakan lubang kubur secepat mungkin. Keluarga arwah mahu jenazah dikebumikan sebelum waktu Zuhur.

Selepas dapat tapak yang dirasakan sesuai, kami mulakan penggalian ketiga. Dalam hati kami berdoa agar kejadian sama tidak berulang lagi.

Tapi, apa nak kata, mungkin sudah nasib arwah. Baru sahaja kubur ketiga digali separas pinggang, kejadian sama berlaku. Kali ini, batu dalam lubang kubur ketiga lebih besar berbanding yang pertama dan kedua tadi.

Akibat masalah itu, urusan pengebumian jenazah terpaksa ditangguhkan. Kami minta jenazah dikebumikan selepas Zuhur saja. Kalau nak cepat, memang tak sempat. Lagipun kami semua sudah penat. Kami perlu rehat supaya dapat tenaga baru.

Ketika duduk melepaskan lelah, saya mula terfikir tentang kejadian yang berlaku. Sudah puluhan kali saya turut serta menggali lubang kubur di tanah perkuburan ini.

Tapi tak pernah pula saya alami masalah begini. Kalau jumpa batu pun, kebiasaannya hanya batu kecil dan boleh dialihkan. Bukan bongkah besar seperti ini. Juga belum pernah berlaku sampai tiga kali lubang digali untuk jenazah sama.

Selepas masing-masing ada tenaga, kami mulakan penggalian kubur baru. Waktu itu, kami berdoa agar perkara sama tidak berulang lagi. Semoga kerja kami dipermudahkan.

Dipendekkan cerita, selepas tiga jam menggali, akhirnya liang lahad keempat siap. Mujur kami tak jumpa sebarang batu dalam lubang tersebut.

Lebih kurang pukul 2.30 petang, jenazah arwah Harjo tiba di tanah perkuburan untuk dikebumikan.

Bila sampai, saya dan penggali kubur lain hanya duduk memerhati waris-warisnya meneruskan pengebumian. Kami tak bantu sebab terlampau penat.

Namun, baru beberapa minit duduk melepaskan lelah di bawah sebatang pokok, tiba-tiba salah seorang waris datang menghampiri kami.

“Kubur sempit. Jenazah tak muat,” beritahunya sebaik berdiri di hadapan kami.

Kami masing-masing terkejut dan tertanya-tanya. Macam mana boleh tak muat pula sedangkan kami gali ikut ukuran yang diberikan. Tanpa berlengah, kami bangun dan pergi ke kubur. Bila tengok, memang sah kubur pendek hampir satu kaki.

Sebab tak nak ia kecoh, kami akui kemungkinan salah kami. Mungkin kami cuai masa menggali tadi. Maklumlah semuanya sudah penat. Jadi sebab nak cepat siap kami tak ikut ukuran sebenar.]

Jenazah Harjo dinaikkan semula. Sekali lagi rakan saya turun dalam lubang kubur untuk menggali. Selepas kubur siap dipanjangkan, jenazah Harjo diturunkan untuk kali kedua. Waktu itu, semua mata memerhati. Tapi entah kenapa dada saya pula berdebar-debar seperti masih ada yang tak kena.

Dan ternyata, firasat saya betul. Walaupun sudah dipanjangkan, liang lahad itu masih belum muat untuk menempatkan jenazah Harjo. Melihat kejadian itu kami semua terkejut. Kami dan waris-waris arwah tak terkata apa-apa.

Batu itu sangat besar sehingga kami terpaksa buat keputusan menggali kubur baru

Kali ini saya yakin apa yang berlaku bukan salah kami. Banyak saksi yang melihat kami sudah panjangkan lubang kubur itu tadi.

Dalam keadaan pelik itu, imam yang berada di situ bersuara.

“Bengkokkan kaki jenazah. Lepas tu terus tanam,” arah imam tersebut.

Tanpa membantah, anak-anak arwah terus melakukan seperti yang disuruh. Akhirnya jenazah Harjo terpaksa ditanam dalam keadaan kakinya dibengkokkan.

Alhamdulillah, walaupun berlaku pelbagai perkara di luar jangkaan, akhirnya jenazah Harjo selamat juga dikebumikan.

Namun, apa yang berlaku pada arwah terus tersebar meluas. Penduduk kampung mula bercerita.Kata mereka, mesti semua itu balasan Allah atas sikap Harjo semasa hidup.

Tapi bagi saya pula, apa yang berlaku adalah iktibar yang boleh kita ambil supaya jangan mencontohi sikap Harjo. Mungkin Allah mahu perlihatkan pada manusia yang masih hidup. Kenapa saya kata begitu?

Begini, semasa hayatnya Harjo memang orang senang. Kekayaannya itu datang dari tanah ladangnya yang luas. Serata pelosok kampung kami, di mana-mana ada saja tanahnya.

Walaupun kaya, hubungannya dengan penduduk kampung tak berapa baik. Ramai penduduk yang berkecil hati dengan Harjo. Semuanya berpunca daripada isu tanah.

Mulanya tanah dimiliki Harjo kecil saja. Tapi makin lama semakin luas. Macam mana Harjo buat?

Sebenarnya, kebanyakan tanah itu diambil dengan cara tak betul. Harjo akan alihkan batu sempadan tanah supaya tanahnya jadi lebih luas. Manakala tanah orang di sebelahnya pula semakin kecil.

Apa yang Harjo buat semua orang tahu. Tapi tiada siapa yang berani hendak melarang atau memarahinya. Ini kerana Harjo terkenal dengan sikap garang. Malah, sanggup menggunakan kuasa wang untuk menjatuhkan orang lain. Sudah tentu orang-orang miskin dan susah tidak mampu hendak melawannya.

Kerana sikap Harjo itulah, dia dibenci. Ramai tidak suka dengannya. Maka, tidak hairanlah Disebabkan itu jugalah ramai orang kampung yang gembira dengan berita kematiannya.

Apa yang saya ceritakan ini, jadikanlah pedoman kita semua. Janganlah mengambil hak orang lain sewenang-wenangnya. Bukankah ia sikap buruk dan dilarang Allah. Manusia benci, tanah pun seakan ‘membenci’ juga untuk menerimanya.